PUTRAJAYA – Program Daie Muda YADIM (DMY) bakal mencetuskan fenomena baru apabila ia dijadikan sebuah rancangan berbentuk realiti di televisyen hasil kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan TV Al Hijrah.
Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz berkata, inisiatif mewujudkan sebuah rancangan realiti di TV Al Hijrah membabitkan DMY akan membolehkan masyarakat melihat bagaimana proses melahirkan seseorang pendakwah dan pemimpin muda itu.
“YADIM berharap dengan adanya paparan proses latihan DMY ini di TV Al Hijrah, semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, taraf kehidupan dan sebagainya dapat melihat bagaimana pembentukan daie itu dilakukan dan menjadi inspirasi kepada mereka,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman di antara YADIM dan TV Al Hijrah yang masing-masing diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris.
Turut hadir ialah wakil daripada Universiti Multimedia (MMU) yang merupakan antara rakan strategik YADIM dalam program DMY.
Nik Omar dalam ucapannya berkata, beliau yakin dengan kerjasama YADIM dan TV Al Hijrah serta rakan strategik yang lain dalam DMY 2020 mampu memberikan kesan yang lebih baik terutama dalam memaparkan manfaat program daie itu sendiri kepada masyarakat.
“Program ini adalah untuk melahirkan kepimpinan yang merupakan tonggak dalam kehidupan manusia kerana dalam ajaran Islam itu setiap individu Muslim adalah pemimpin dan tidak boleh lari daripada tanggungjawab kepimpinan,’’ katanya.
Beliau berkata, contoh terbaik dalam kepimpinan adalah Rasulullah yang serba lengkap sama ada berkaitan urusan peribadi, keluarga, sahabat, masyarakat tanpa mengira agama dan etnik serta kehidupan bernegara.
Justeru, program DMY adalah satu usaha melahirkan modal insan yang benar-benar memahami matlamat kehidupan dan tanggunjawab sebagai seorang insan.
Katanya, peserta-peserta yang dilahirkan daripada program DMY ini diharapkan dapat memberi penjelasan kepada masyarakat betapa rahmatnya Islam itu kepada alam ini dan seterusnya memurnikan kalimah dakwah itu sendiri.
KOMEN