Home » Langit Terbuka » Ditahan Jawi, Siti Nuramira dijangka didakwa di Mahkamah Syariah esok

Ditahan Jawi, Siti Nuramira dijangka didakwa di Mahkamah Syariah esok

Siti Nuramira keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini yang kemudian ditahan Jawi bagi pendakwaan di Mahkamah Syariah esok. - Foto KOSMO

Kuala Lumpur – Hanya beberapa minit selepas dibebaskan, wanita kontroversi yang didakwa menghina Islam ketika membuat persembahan di kelab komedi, Siti Nuramira Abdullah ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) hari ini.

Siti Nuramira, 26,  ditahan penguatkuasa Jawi  selepas menandatangani Borang Jamin dengan ditemani peguamnya Ramesh Chandran di Kaunter Jaminan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pukul 10.20 pagi.

Berdasarkan prosedur, wanita itu akan ditahan oleh JAWI selama 24 jam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah esok untuk dituduh mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 Bahagian III-Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesucian Agama Islam Dan Institusinya.

Seksyen itu membabitkan kesalahan menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina yang mana jika disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Semalam Nuramira dan teman lelakinya V. Alexander Navin, 38, selesai membayar ikat jamin masing-masing berjumlah RM20,000 melalui hasil kutipan sumbangan orang ramai.

Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni di kalangan sesama Islam.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.

Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Alexander Navin turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.

Minggu lalu, satu video berdurasi 54 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 9 Julai lalu dan direman selama tiga hari manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai. – KOSMO! ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *