Kasih ibu membawa ke syurga. Walau tidak dikurnia harta dunia, cukuplah hanya kasihnya ibu tercinta. Baginya, ibulah segala-galanya.
Ibunya yang uzur lagi lumpuh ditatang ibarat minyak yang penuh. Kerjayanya sebagai gembala kambing tidak pernah menjadi halangan untuk berbakti kepada ibu. Segala permintaan sang ibu, diusahakan hingga dapat dipenuhi. Namun, permintaan ibu yang satu itu membuatkan hatinya gundah gulana.
“Anakku, ibu rindu benar untuk menjejakkan kaki di rumah Allah nan satu itu. Ibu rindu untuk sujud syukur di Masjid Al-Haram. Ibu ingin benar mengerjakan haji. Wahai anakku yang disayangi, ikhtiarkanlah agar hajatku yang satu ini dimakbulkan.”
Dia sedar, kemiskinan yang melingkari hidup mereka ini tidak akan memungkinkan hajat ibunya dipenuhi. Sedangkan makanpun ibarat kais pagi makan pagi, pakaian juga hanya dua helai dan tidak pernah berganti, inikan pula menyediakan perbelanjaan untuk mengerjakan haji. Perjalanan dari Yaman ke Mekah memerlukan beberapa ekor unta yang dipasang dengan Haudat (sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk berlindung daripada cuaca panas dan hujan). Masakan dengan kemiskinan ini dia dapat menyediakan semua itu. Namun, siapalah dia tanpa ibu yang sangat dikasihi. Mana mungkin permintaan ibu tercinta diingkari.
Usai membaca al-Quran, dalam sendu, dia memanjatkan doa kepada Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah culas untuk membaca al-Quran, tidak pernah lengah untuk mengalunkan zikir munajat dan mengerjakan ibadah puasa setiap hari. Malam hari, masanya terisi dengan solat sunat dan tahajud kepada Allah SWT.
Disetiap doa yang dititipkan, hanya nama ibu disebut. Tidak sekali-kali berdoa untuk dirinya sendiri – “Maka Kau kabulkanlah doaku ini, ya Allah, Tuhan Yang Maha Mendengar, demi hajat ibuku, untuk menunaikan haji. Hanya ibulah satu-satunya harta yang kumiliki, tanpa mengenal kasih seorang ayah yang telah pergi ketika aku masih kecil, hanya ibulah satu-satunya insan untuk dicurahkan rasa kasih dan sayangku ini. Makbulkanlah doaku ini ya Allah… Aamiin.”
Doanya dimakbulkan. Allah SWT telah memberikannya suatu ilham. Dengan ilhamnya itu, dia membeli seekor anak lembu yang baru dilahirkan. Dibinanya sebuah kandang di atas tanah tinggi. Setiap petang, dia akan mendukung anak lembunya ke atas bukit itu. Paginya pula, didukungnya anak lembu itu menuruni bukit untuk diberikan makanan. Ada ketikanya dia mendukung anak lembunya itu mengelilingi bukit tempatnya memberi makanan. Begitulah rutinnya setiap hari selama lapan bulan.
Tidak sedikit celaan dan hinaan yang dilemparkan terhadap perlakuannya itu. Dia dituduh sebagai orang gila dan dungu. “Sudahlah badan dipenuhi sopak, fakir miskin dan gila pula.” Pun begitu, dia tidak pernah mengambil endah dengan setiap celaan dan hinaan tersebut. Baginya, setiap perlakuannya itu adalah ilham yang dianugerahkan oleh Allah SWT untuknya memenuhi hajat ibu semata-mata.
Genap bulan yang ke lapan, anak lembu yang asalnya hanya seberat 20 kilogram (kg), kini telah mencecah 100 kg. Bukan sahaja anak lembunya telah membesar menjadi seekor lembu dewasa yang sihat, malah otot-otot tangan dan badannya juga menjadi kuat hingga dengan mudah mengangkat lembu seberat 100 kg itu menuruni dan mendaki bukit setiap hari.
Maka tibalah musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya yang digelar gila selama ini adalah persediaan baginya untuk memenuhi hajat ibu tercinta mengerjakan haji. Lembu yang beratnya 100 kg pun dapat diangkatnya, inikan pula ibunya yang lebih ringan. Dia telah memangku ibunya dari kampung halamannya, Qarn, sebuah desa terpencil dekat Nejed, Yaman hingga ke Mekah dengan kedua tangannya sendiri. Di belakangnya, diletakkan barang-barang keperluan dan bekalan termasuk air dan roti.
Sepanjang di Mekah, dia mendukung dan memangku ibunya mengerjakan wukuf, tawaf dan saie dengan mudah. Malah dengan kedua tangannya jugalah dia membawa ibunya pulang semula ke kampung halaman mereka.
Usai tiba di rumah mereka, ibunya bertanya: “Wahai anakku, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?”
“Aku berdoa agar Allah mengampunkan segala dosa-dosamu, ibu,” jawabnya.
Lalu ibunya bertanya lagi: “Bagaimana pula dengan dosamu.”
Dia menjawab: “Dengan terampunnya dosamu ibu, maka syurgalah tempatmu kelak. Cukuplah keredaanmu untukku menuruti kamu di syurga nanti, wahai ibu kesayanganku.”
Mendengarkan jawapan dari anaknya itu, ibunya berkata: “Ibu mahu supaya kamu berdoa agar Allah menghilangkan penyakitmu ini.” Namun anaknya membalas: ‘Aku keberatan untuk berdoa kerana Allah lah yang menjadikan penyakitku ini. Jika aku tidak reda dengan kejadian-Nya, ibarat aku tidak mensyukuri dengan apa yang dikurniakan-Nya kepadaku.”
Lantas ibunya berkata: “Kalau kamu ingin masuk ke syurga, maka kamu mestilah taat kepada perintah ibumu ini. Ibu perintahkan agar kamu berdoa.” Dia terpaksa akur dengan permintaan ibunya lalu menadah tangan dan berdoa supaya diberikan kesembuhan dari penyakit yang dihadapi sepanjang hidupnya itu.
*****
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doanya yang akan lahir di zaman mereka (zaman selepas kewafatan Baginda).
“Sesungguhnya sebaik-baik generasi tabiin adalah orang yang bernama Uwais. Dia mempunyai seorang ibu dan mempunyai belang putih ditubuhnya (sopak). Lalu dia berdoa hingga Allah menghilangkan belang itu kecuali hanya tersisa berbentuk seperti sebutir dirham.” (HR Muslim dalam shahihnya No. 2542, Imam Ahmad dalam Musnadnya, I/38).
Lalu Saidina Umar RA dan Saidina Ali RA bertanya kepada Baginda Rasulullah: “Apakah yang patut kami minta daripada Uwais, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: ‘Mintalah kepadanya agar dia memohon kepada Allah supaya mengampuni dosa-dosa kalian.”
Uwais atau nama lengkapnya Uwais bin Amir bin Juz bin Malik bin Amru bin Mus’adah bin Amru bin Sa’ad bin Ashwan bin Qorn bin Rodman bin Najiyah bin Murod Al Murodi berasal dari Qarn, sebuah desa terpencil dekat Nejed, Yaman. Dia dilahirkan dalam kalangan kabilah Murad.
Uwais bin Amir al-Qarni wafat pada tahun 657M ketika bersama-sama Saidina Ali RA dalam Perang Siffin. Beliau dikuburkan di daerah Baykan, Turki. – MAJALAH DAKWAH
KOMEN