KOTA KINABALU, 20 Jun – Buat julung-julung kalinya, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sabah menganjurkan program derma darah pada bulan Ramadan sebagai satu usaha membantu Hospital Queen Elizabeth, di sini, meningkatkan jumlah tabungan darah yang sangat diperlukan sempena hari perayaan tidak lama lagi.
Program berkenaan telah diadakan di Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru, dekat sini, pada 18 Jun dan telah turut dihadiri oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Pengurus Yadim Zon Sabah, Samin Ongki berkata, program yang dinamakan sebagai Salam Kasih Ramadan (Jom Derma Darah) itu diharapkan dapat membantu pihak hospital bagi menghadapi sebarang kemungkinan ekoran musim perayaan akan bakal disambut tidak lama lagi.
Beliau berkata, kempen menderma darah itu bermula dari pukul 8 malam hingga 10.45 malam, dan telah berjaya mengumpul sebanyak 65 pain darah.
Menurut Samin lagi masa menderma darah sengaja dirancang diadakan pada waktu malam untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada umat Islam yang sedang berpuasa.
“Penghargaan diberikan kepada pasukan Sukarelawan Al-Falah YADIM Masjid al Kauthar,Tanjung Aru, Kota Kinabalu, serta anggota pasukan keselamatan dari Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Lok Kawi yang turut serta dalam program ini,” katanya.
KOMEN