Home » Langit Terbuka » Deklarasi Ipoh letakkan takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jelas di Perak

Deklarasi Ipoh letakkan takrifan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jelas di Perak

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh. Foto fail NSTP.

IPOH: Deklarasi Ipoh yang dicapai dalam muzakarah Oktober 2023 menjadi pegangan buat negeri Perak meletakkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah sebagai takrifan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh berkata, Deklarasi Ipoh yang dimeterai bersempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, meletakkan ASWJ sebagai golongan umat Islam yang berpegang dengan manhaj Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi serta ahli Athar di dalam bidang Akidah.

Katanya, ASWJ juga adalah mereka yang beramal dengan mazhab yang muktabar di dalam bidang Fiqh, serta mengikut madrasah Imam Junayd al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali dalam bidang Tasawuf.

“Manhaj ASWJ adalah manhaj yang mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang di antara dalil naqli dan aqli serta berpegang dengan kaedah tafwid (menyerahkan makna dan maksud) serta takwil (memalingkan makna) bagi nas-nas mutasyabihat (kesamaran).

“Susulan itu firqah atau pecahan kelompok lain seperti Syiah, Wahhabi, Khawarij, Mujassimah, Mushabbihah, Muktazilah, Batiniyyah, Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme, Salafiah Jihadiah, DAESH, AI- Ikhwan, dan Hizbut Tahrir dianggap firqah bid’ah yang terkeluar dari ASWJ.

“Juga firqah bidaah adalah sebarang fahaman yang membawa kepada fenomena takfir (mengkafirkan) dan keganasan yang mana ia terkeluar daripada ASWJ,” katanya memetik Deklarasi Ipoh yang disiarkan di Facebook (FB) Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), semalam.

Wan Zahidi menegaskan ASWJ adalah pegangan majoriti ulama dan umat Islam sepanjang zaman sejak generasi para salaf dan khalaf sehingga hari ini.

Katanya, mereka disebut sebagai “Al-Jama’ah”, “Al-Sawad Al-A’zam” dan “Al-Firqah Al-Najiah.”

“Ia sudah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk umat Islam berpegang dengannya tatkala berlakunya perpecahan umat,” katanya.

Menurutnya lagi, ASWJ juga adalah jati diri umat Islam di alam Melayu sejak kedatangan Islam dan menjadi warisan sehingga ke hari ini.

Beliau berkata, ASWJ menjadi pegangan seluruh ulama muktabar daripada kalangan fuqaha’, ahli hadith, ahli tafsir, ulama’ tasawuf, ulama’ lughah (bahasa) dan ulama’ qiraat.

“Ahli Sunah Wal Jamaah merujuk kepada umat Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah dan sahabat baginda di dalam memahami dan mengamalkan agama Islam.

“Oleh itu, Ahli Sunah Wal Jamaah perlulah difahami, dihayati, dipelihara dan dilindungi serta usaha-usaha memperkasakan Ahli Sunah Wal Jamaah ini perlulah dilakukan secara menyeluruh dan berterusan.

Julai lalu polemik mengenai takrifan ASWJ timbul apabila Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 yang hendak dibentang di Parlimen, mensyaratkan bahawa ASWJ dari sudut akidahnya bersumberkan aliran al-Asyairah dan al-Maturidiah.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *