Home » Citra Yadim » Dekati dan pulihkan, bukan cemuh dan sisih

Dekati dan pulihkan, bukan cemuh dan sisih

PUTATAN – Kerajaan harini mengamalkan pendekatan pemulihan untuk membantu golongan yang bermasalah dalam kalangan masyarakat, jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Yang Berhormat Fuziah Salleh.

Menurutnya, menerusi pendekatan tersebut, individu bermasalah, seperti yang terlibat dalam gejala Lesbian, Biseksual, Gay dan Transgender (LBGT) dan dadah contohnya, didekati dan dipulihkan, bukannya dihukum, cemuh dan disisihkan.

“Penagih dadah umpamanya, jika selepas dirawat dan kembali pada masyarakat, jika berterusan disisihkan, mereka akan kembali pada tabiat lama (menagih), seandainya ditangkap semula dan dipulihkan, justeru apa ? Kitaran ini akan kembali berterusan,”ujar beliau.

Fuziah berkata demikian ketika merasmikan Seminar Bicara Keluarga Rahmah Peringkat Daerah Putatan 2019 di sini pada 21 Oktober.

Program anjuran Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Dewan Sri Putatan di sini, dihadiri oleh hampir 500 tetamu.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Ekjsekutif (CEO) YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, CEO Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Zabidi Nassan, Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR), Dr Hafidzah Mustakim, Pengarah YADIM Sabah, Samin Ongki, serta ketua ketua agensi agama Islam di negeri ini.

Dalam pada itu Fuziah menambah, pendekatan kerajaan itu sesuai dengan konsep rahmah dan Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang mahu menunjukkan bahawa Islam itu rahmah untuk semua.

“Rahmah yang dibawa Islam ini untuk semua, manusia, haiwan, malah seluruh alam, justeru mengapa kita masih hendak pandang serong dan sisihkan golongan yang bermasalah ini?,”.

“Mereka akan hanya kembali pada pihak yang mahu menerima mereka, iaitu rakan rakan yang sama bermasalah, jadi ianya tidak akan selesai,”jelasnya.

Fuziah juga menyeru agar semua yang berkaitan, turut mengamalkan pendekatan tersebut untuk sama sama menangani masalah sosial, khususnya yang melibatkan isu isu kekeluargaan.

Sementara itu, Tuan Kamarul Arief ketika menyentuh mengenai program dalam ucapan aluannya berkata, Islam melihat bukan individu, tetapi keluarga secara keseluruhan dalam pembentukan sebuah masyarakat.

Justeru katanya, antara fokus YADIM dalam usaha dakwahnya ialah memperkukuh institusi kekeluargaan dan penubuhan MAWAR-YADIM, adalah antara gerak kerja bagi mencapai tujuan itu.

“Menerusi MAWAR, isu isu kekeluargaan dan wanita diangkat dan menerusi program programnya, menyantuni golongan ini,” kata beliau.

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *