SEREMBAN – Dasar Rahmatan Lil Alamin yang akan dilaksanakan kerajaan akan berpaksikan model Malaysia yang turut mengambil kira pelbagai aspek, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Beliau berkata, antara aspek yang turut merangkumi kepada penggubalan dasar berkenaan ialah Perlembagaan Persekutuan, kepelbagaian kaum, adat dan tradisi serta demokrasi Parlimen.
“Turut diambil kira ialah isu yang mempengaruhi amalan Islam dalam konteks amalan yang negatif dari luar. Sebab itu model Malaysia itu meletakkan definasi macam mana yang akan menentukan dasar itu berpandukan kepada realiti.
“Ia akan menentukan apakah dasar yang sesuai kita amalkan tanpa kita hilang prinsip. Dia amat anjal mengikut konteks tempatan tapi selagi ia tidak bercanggah dengan prinsiplah,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas sesi Town Hall Maqasid Syariah Peringkat Negeri Sembilan 2019 di sini.
Program berkenaan dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, barisan Exco Kerajaan Negeri dan 300 peserta terdiri daripada pegawai kerajaan.
Negeri Sembilan adalah negeri terakhir daripada enam buah negeri yang telah dilaksanakan sesi Town Hall mengenai Maqasid Syariah, bagi tahun ini.
Mengulas mengenai maklumbalas daripada orang bukan Islam yang turut menghadirinya, Mujahid berkata ia sangat memberangsangkan malah ada di antara mereka telah faham mengenai falsafah di sebalik dasar itu, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu, Mujahid dalam sesi penjelasan menyatakan bahawa dasar berkenaan dirangka dengan baik dan menyeluruh, adalah kesinambungan daripada dasar terdahulu seperti Islam Hadhari dan Wasatiyyah.
“Dasar hari ini dasar yang kita namakan dasar Rahmah, lahir bukan sahaja kerana keperluan dalam negara bahkan global. Hari ini Islam berada dalam dua persepsi ekstrem iaitu satu radikal agama dan satu lagi Islamophobia, yang lihat apa sahaja berkaitan Islam adalah negatif.
“Maka atas perkara itu, maka kita lahirkan idea Rahmatan Lil Alamin. (Dasar) Dahulu ada juga maqasid dan saya teliti maqasid itu dipanggil indeks sahaja, tetapi hari ini kami meletakkan maqasid bukan dalam konteks indeks semata-mata, tetapi maqasid sebagai kerangka berfikir untuk memastikan keputusan yang kita buat bersesuaian dengan kesan kepada masyarakat yang ada dalam Malaysia,” katanya. – Bernama
KOMEN