Home » Langit Terbuka » Darul Kifayah-MAIWP lahirkan peguam

Darul Kifayah-MAIWP lahirkan peguam

NURUL FADZILAH KAMALUDDIN (dua dari kanan) bersama bekas penghuni Darul Kifayah yang berjaya dan aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kompleks berkenaan. Foto : Utusan

KUALA LUMPUR 31 Mac – Berjaya menjadi peguam­bela, peguamcara serta peguam syari’e dan al-hafizah serta kini memiliki firma guaman sendiri iaitu Tetuan Fadzilah Kamaluddin & Co, Nurul Fadzilah Kamaluddin, 28, merupakan antara bekas warga Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah (Darul Kifayah), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang wajar dijadikan contoh serta inspirasi buat anak-anak muda masa kini

Menjadi penghuni Darul Kifayah dari 2002 hingga 2003, kompleks berkenaan ba­nyak mengajar anak jati Kuala Lumpur itu tentang erti kehidupan dan membentuk dirinya menjadi seorang insan berjaya seperti hari ini.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia mula menjejakkan kaki di Darul Kifayah ketika berusia 12 tahun atas permintaan ibunya yang mahu melihat dia berdikari dan mendisiplinkan diri.

“Sejak ayah meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun, ibu yang merupakan seorang guru di sekolah agama telah bekerja keras membesarkan kami empat beradik. Jadi, atas berkat doa dan redha ibu, saya tekad belajar di Darul Kifayah dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai apa yang saya ada pada hari ini.”

“Dengan memasuki kompleks ini, saya dapat membantu mengurangkan beban ibu kerana Darul Kifayah memainkan peranan untuk menjaga kesejahteraan anak yatim, yatim piatu, saudara baharu dan pelajar-pelajar miskin dengan menyediakan tempat kedia­man sementara. Selain itu, Darul Kifayah turut memberi bimbingan agama dan mengadakan kemudahan pendidikan yang sempurna,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Nurul Fadzilah lagi, pelbagai kemudahan disediakan di Darul Kifayah bagi kegunaan pelajar termasuk perpustakaan, makmal komputer, surau, dewan makan, tempat beriadah dan kelengkapan asrama.

“Malah, hampir keseluruhan kos sara hidup dan pelajaran turut disediakan kepada setiap pelajar oleh pihak Darul Kifayah yang dibiayai sehingga tamat persekolahan.

“Dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan ini, saya mengambil peluang belajar bersungguh-sungguh demi mendapat keputusan terbaik dalam pelajaran dan dalam masa yang sama mahu menggembirakan ibu saya,” katanya.

Tambah Nurul Fadzilah, sepanjang berada di Darul Kifayah, dia turut bekerja sebagai guru pratahfiz dengan mengajar kanak-kanak membaca al-Quran dan dari situ, minatnya yang suka mengajar dan mendidik mula dipupuk.

“Pengalaman berada di Darul Kifayah adalah pengalaman pa­ling manis dan berharga dalam hidup saya. Ini kerana, di situlah tempat titik permulaan saya belajar mengenali potensi diri menjadi lebih baik dalam setiap segi tidak kira pelajaran, sukan, sahsiah diri dan sebagainya,” ujarnya.

Menurut Nurul Fadzilah, bagi memenuhi impian ibunya dengan menjadi seorang hafizah, dia te­lah menyambung pelajaran di sebuah tahfiz di ibu negara.

“Alhamdulillah pada usia 17 tahun saya berjaya khatam 30 juzuk al-Quran serta menjadi pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan ibu, keluarga dan diri saya sendiri.

“Saya kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan sepanjang menuntut di sana, saya turut mendapat bantuan pengajian berjumlah RM3,000 setahun daripada MAIWP,” katanya.

Tambahnya, sepanjang pengajian di universiti dia juga berdikari mencari wang tambahan kerana tidak mahu membebankan ibunya.

“Ketika di tahun akhir, saya mencabar diri untuk cemerlang dalam pelajaran dan pada masa yang sama mempunyai pendapatan sendiri.

“Pada waktu pagi saya akan fokus kepada pelajaran, sebelah petang saya menguruskan perniagaan kecil-kecilan iaitu perniagaan kedai buku (koperasi) bersama pekerja-pekerja saya dan waktu malam pula saya mengajar di Darul Kifayah kerana telah memasang niat untuk berbakti kepada kompleks ini,” kongsinya.

Sehingga hari ini, Darul Kifayah sering menjemput Nurul Fadzilah dalam program anjurannya untuk berkongsi pengalaman, memberi motivasi dan semangat kepada para penghuni agar mereka sama-sama menjadi ejen pengubah nasib keluarga di kemudian hari.

Kini, Nurul Fadzilah mahu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana ingin menjadi pensyarah walaupun te­lah bergelar peguam. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *