Home » Langit Terbuka » Daripada Muslim kepada Muslim

Daripada Muslim kepada Muslim

PARA usahawan Muslim boleh menggunakan portal Muslim Traders untuk memasarkan produk masing-masing. (Gambar hiasan)

PORTAL Muslim Traders bakal menjadi platform buat usahawan Islam tempatan mengiklankan produk dan perkhidmatan perniagaan mereka secara atas talian ke seluruh dunia.

Pengurus Projek Muslim Traders, Azizan Mo’min berkata, portal atas talian berbayar itu juga, diwujudkan bagi memberikan kemudahan kepada pengguna Islam khususnya bagi mendapatkan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan usahawan Islam.

“Berdasarkan kajian, ketika ini tiada platform secara atas talian disediakan untuk pengguna Islam jadikan rujukan apabila mahu mendapatkan produk dan perkhidmatan daripada usahawan Islam.

“Kerana itu Muslim Traders diwujudkan khusus untuk usahawan Islam kepada pengguna Islam,” katanya.

Tambahnya, terdapat 18 juta pengguna Islam di Malaysia sekali gus menjadinya sebuah pasaran besar untuk dikuasai.

Pada masa sama menggalakkan pengguna membeli produk dan menggunakan perkhidmatan daripada usahawan Islam.

Dalam pada itu katanya, setiap usahawan wajib mengemukakan dokumen bagi mengesahkan syarikat, produk atau perkhidmatan dihasilkan usahawan Islam.

“Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita menafikan produk atau perkhidmatan yang dihasilkan usahawan bukan Islam. Sebaliknya portal ini dibangunkan untuk membantu pengguna Islam mendapatkan produk dan perkhidmatan daripada usahawan Islam itu sendiri,” katanya.

Selain itu, Muslim Traders turut menyediakan laman sesawang mini untuk semua usahawan di bawah mereka.

Menerusi konsep cari, pilih dan navigasi, membolehkan pengguna mencari lokasi kedai usahawan.

Katanya, melalui laman sesawang mini, usahawan boleh meletakkan informasi perniagaan, seperti kaedah perhubungan dan laman sesawang yang akan dihubungkan terus kepada aplikasi seperti Google Maps dan pengguna akan berurusan terus dengan usahawan berkenaan,” katanya sekali gus memberitahu portal Muslim Traders diwujudkan hasil usaha sama LZ Portal Ventures dan Reenaz Resources.

Dalam pada itu, Azizan berkata, portal Muslim Traders dan aplikasi mobil versi Android bakal dilancarkan April depan.

“Kami menyasarkan seramai 10,000 usahawan dalam tempoh tiga tahun menggunakan portal Muslim Traders sebagai salah satu platform pemasaran produk mereka.

“Walaupun baru seminggu diperkenalkan, kami sudah mempunyai seramai 40 usahawan Islam berdaftar dan jumlahnya semakin meningkat setiap hari. Bahkan kami turut mendapat permintaan daripada usahawan Islam di Brunei dan Indonesia yang berminat menggunakan portal Muslim Traders,” katanya. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *