AYER KEROH – Penjara Dusun Dato’ Murad di sini mencatat sejarah unik apabila secara rasminya memiliki pasukan Sukarelawan Al Rahmah (SAR) sendiri.
Ia merupakan pasukan SAR pertama yang dianggotai oleh penghuni penjara kategori Orang Dalam Selia (ODS) di negara ini.
Menggunakan konsep ‘Dari Masyarakat Kepada Masyarakat’, ia bermatlamat sebagai membina hubungan penghuni dengan masyarakat.
Pengarah Penjara Dusun Dato’ Murad, Penolong Komisioner Penjara, Zamzuri Ghani berkata penubuhan secara rasmi pasukan berkenaan adalah penting sebagai salah satu program dan kaedah pengislahan penghuni penjara.
“Program ini memang ada risikonya, tetapi kami sanggup teruskan kerana impak terutamanya dari aspek pendidikan kepada penghuni dan masyarakat adalah lebih besar.
“Program seperti ini memang kami tunggu tunggu. Sebelum ini pihak penjara ada cuba adakan kerjasama dengan beberapa pihak lain untuk adakan program seperti ini, tetapi tidak berjaya,” katanya dalam Majlis Penubuhan Pasukan Sukarelawan Al Rahmah Penjara Dusun Dato’Murad di sini pada 30 Januari.
Hadir sama ialah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah Dan Wanita YADIM, Muhammad Hafiz Musa, Penolong Pengarah Bahagian Khidmat Bakti Ar Rahmah YADIM, Abdul Qaiyum Aris, Penyelaras YADIM Melaka, Muzafar Abd Rahim, pegawai penjara, kakitangan YADIM serta ahli SAR Penjara Dusun Dato’Murad.
Dalam pada itu Zamzuri berkata, menerusi penubuhan pasukan SAR itu juga, ia membuktikan mesej Rahmah dapat disampaikan walaupun dari tirai besi penjara.
Muhammad Hafiz pula, ketika menyempurnakan pelancaran pasukan SAR itu berkata, penubuhan itu membuktikan penghuni penjara disebalik semua persepsi yang dilemparkan kepada mereka, berhak diberi peluang kedua untuk mengubah kehidupan.
“YADIM membuat perancangan untuk mengadakan 10 Program Bakti Khas untuk pasukan SAR ini.
“Penganjurannya selaras dengan hasrat kedua pihak untuk tanam dan sebar konsep Rahmah untuk semua,”ujarnya.
Sebagai gimik perasmian, Muhammad Hafiz telah memakaikan vest kepada ahli ahli SAR Penjara Dusun Dato’Murad.
SAR Penjara Dusun Dato’Murad mempunyai ahli seramai 300 orang termasuk kakitangan penjara.
KOMEN