GEORGE TOWN – Kisah ibu hamil menyelongkar tong sampah untuk menyara keluarga yang tular di media sosial, meraih simpati ramai apabila kutipan derma dilancarkan untuk membantu Magdalena Herkules Manalu, berjaya meraih kutipan RM113,500 dalam tempoh 40 jam.
Magdalena, 39, yang hamil tujuh bulan terpaksa “menghadap kotoran” demi mencari sesuap nasi untuk dua anaknya – perempuan, 9, dan lelaki, 3, selepas suaminya, Choong Nai Fatt, 44, yang merupakan mekanik motosikal terlantar akibat diserang angin ahmar sejak Disember lalu.
Lantaran itu, One Hope Charity and Welfare menggerakkan inisiatif melancarkan kutipan derma pada 6 Feb lalu untuk membantu keluarga tersebut, namun kerana kutipan yang memberangsangkan, ia dihentikan dua hari kemudian.
“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang menyumbang untuk keluarga saya. Saya amat bersyukur kerana tanpa derma anda semua, saya tidak dapat (membantu) merawat suami saya. Namun, saya mohon kepada semua, supaya berhenti memberi derma kepada saya kerana bagi saya semua itu sudah cukup.
“Berikanlah derma kepada golongan yang lebih memerlukan kerana (bantuan yang terkumpul) ketika ini sudah cukup untuk keperluan merawat suami saya. Saya tidak perlu lagi wang ringgit cuma minta doakan supaya urusan kami sekeluarga dipermudahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan kediamannya di Jelutong.
Magdalena berkata, dia akan gunakan bantuan itu untuk memulakan perniagaan dalam talian sebagai permulaan baharu untuk menyara keluarganya sebelum melahirkan bayi sementara menunggu suaminya sembuh.
Wanita yang berasal dari Medan, Indonesia itu berkata beliau tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada bantuan orang ramai kerana dirinya masih bertenaga untuk mencari rezeki.
YADIM merupakan agensi pertama tampil menyampaikan bantuan kepada wanita ini, iaitu pada 5 Februari, kurang 24 jam selepas kisahnya mula tular.
Hadir menyampaikan sumbangan YADIM ketika itu ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dan Penyelaras YADIM Pulau Pinang, Mohd Afifi Ruslan.
KOMEN