Khas buat penonton setianya, TV AlHijrah membawakan barisan rancangan menarik yang telah disusun sepanjang Februari tahun ini. Antara program yang mahu diberi perhatian adalah Dakwah Live dan Mai Ngaji.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Datuk Hj. Izelan Basar, pengisian baharu ini adalah untuk memenuhi pemilihan siaran ini adalah bagi memenuhi permintaan penonton yang mahukan rancangan inklusif meliputi semua genre, santapan setiap lapisan masyarakat.
“Peratusan peningkatan penonton yang mengikuti rancangan-rancangan menarik yang penuh dengan bimbingan agama, kerohanian dan motivasi seperti Mimbar, Kalam Hikmah, Alam Barzakh dan zikir zikir munajat sepanjang hari menunjukkan TV AlHijrah berjaya menerbitkan program-program yang memberi fokus kepada lifestyle dan mempunyai ruang rasa yang tersendiri.
“Justeru kami tampil dengan beberapa program menarik sepanjang bulan ini termasuk Dakwah Live dan Mai Ngaji,” ujar Izelan.
Dakwah Live adalah sebuah program bual bicara yang disiarkan secara langsung pada setiap Isnin hingga Rabu pukul 9 malam selama sejam. Siaran ulangan pula pada setiap Selasa, Rabu dan Khamis pukul 6.30 pagi.
Merupakan sebuah program terbitan dalaman TV AlHijrah, ia bersiaran sebanyak 33 episod.
“Dakwah Live muncul berikutan respons penonton yang mahukan rancangan seumpama Labaikallah yang diterbitkan Musim Haji yang lalu dan boleh dikategorikan sebagai kemuncak serta pelengkap kepada program bual bicara sedia ada di TV AlHijrah.
“Hal ini kerana selain menepati cita rasa kontemporari, Dakwah Live menggunapakai konsep dakwah separa-realiti yang luar biasa bercirikan penglibatan dan interaksi santai antara penonton di studio bersama pendakwah terkemuka yang bertindak sebagai hos rancangan,” tambah Izelan.
Hadiah
Antara pendakwah terkemuka yang menjadi tetamu termasuklah Datuk Dr. Izhar Arif, Datuk Nurhafiza Musa, Dr. Nik Salida Nik Salleh dan Dr. Syarifah Hayati. Ramai personaliti terkemuka akan turut muncul sebagai tetamu khas.
Selain itu, perkongsian ilmu menyentuh topik gaya hidup masa kini dilihat mampu untuk memecah blok tontonan konvensional seluruh saluran nasional yang menjadikan waktu puncak dipenuhi dengan kandungan berbentuk hiburan.
Lebih menarik setiap episod siaran langsung ini turut menawarkan hadiah-hadiah menarik secara spontan kepada penonton di studio.
Atas kesedaran bahawa al-Quran tidak hanya perlu dibaca pada setiap bulan Ramadan sahaja, TV AlHijrah buat pertama kalinya tampil dengan sebuah program yang menyediakan platform buat umat Islam untuk mempelajari, menyemak, mengkaji serta memperdengarkan bacaan al-Quran secara beramai-ramai.
Ia dinamakan sebagai Mai Ngaji yang disiarkan pada setiap hari Selasa, pukul 7.30 malam. Siaran ulangan pula pada hari yang sama pukul 10.30 malam.
Mempertaruhkan wajah baharu selaku pengacara rancangan, kredibiliti dan keupayaan Ustazah Nadhrah Mohamed Yunos telah terbukti berjaya dengan jumlah peratusan tontonan yang tinggi sewaktu beliau buat pertama kalinya muncul di kaca televisyen selaku hos jemputan di dalam rancangan bual bicara Assalamualaikum untuk mengajar mengaji secara langsung.
Oleh yang demikian menerusi Mai Ngaji, Nadhrah diberi kepercayaan untuk bersama-sama 150 orang pelajar yang terdiri daripada kaum wanita sahaja. Mereka akan bertalaqqi, saling semak menyemak serta menatijahkan penghayatan dan amalan mengikut hak al-Quran diturunkan. – KOSMO
KOMEN