KUALA LUMPUR – Usaha mengajak ke arah makruf dan mencegah kemungkaran perlu di lakukan ibarat menarik rambut dalam tepung.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail, bertitah pendekatan berhemah harus ditekankan kerana masyarakat di negara ini terdiri daripada berbilang kaum dan agama.
Baginda bertitah, istilah mengelakkan mudarat lebih utama dari mendatangkan manfaat perlu diberikan penekanan, terutama dalam era di mana perselisihan boleh membawa kepada pergaduhan sekiranya tidak ditangani dengan kematangan.
“Sikap umat Islam yang matang dan berakhlak baik, menjadi cerminan kepada Islam itu sebagai Rahmatan Lil Alamin,” titah baginda dalam ucapan perasmian penutup Seminar Fiqh Taghyir Al-Munkar (Mengubah kemungkaran), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Baginda bertitah, tindakan semberono atas nama agama adalah dilarang kerana setiap amalan dalam Islam memiliki disiplin dan aturan wajib dipatuhi.
Titah baginda sebarang penetapan hukum atau tindak tanduk sebagai Muslim, hendaklah berdasarkan objektif dan hala tuju yang sama.
“Sebarang perlakuan yang mendatangkan mudarat atau imej yang salah kepada Islam dan penganutnya perlulah dielakkan dan bagi menjauhi mudarat yang lebih besar“, titah baginda.
Baginda turut mengingatkan kepentingan memahami situasi semasa dengan mengambil kira faktor perubahan zaman dan tempat bagi mencapai keputusan selari dengan kehendak dan objektif syariat.
“Kita perlu berhati-hati, memiliki sikap lebih bertanggungjawab dan sentiasa mendalami ilmu agama dan mengelakkan diri daripada memberikan ulasan atau pendapat yang beremosi, perkauman bahkan menyentuh sensitiviti serta nilai utama dalam mana-mana agama yang terbabit di dalamnya,” titah baginda.
Baginda bertitah dalam arus media sosial hari ini, budaya perbincangan di dunia maya iaitu komen yang ada kalanya agak berlebihan dan tersasar berpunca daripada kekhilafan dan kurangnya pengetahuan serta ilmu khususnya berkaitan isu di anggap panas atau kontemporari.
Justeru ia perlu dibendung supaya tidak menjadi wabak dalam masyarakat.
Baginda turut memuji penganjuran seminar itu yang dilihat sebagai sokongan kerajaan melahirkan modal insan berfikiran terbuka, maju dan berdaya saing menurut acuan Islam sebenar.
Seminar itu dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Pusat Islam Kuala Lumpur.
Ia dihadiri lebih 1,500 peserta dalam kalangan orang awam dan kakitangan pelbagai agensi kerajaan.
Sementara itu, Mujahid pada sidang media berkata kesedaran mengenai kepentingan ilmu menerusi dakwah boleh sampai kepada orang ramai menerusi khutbah.
Katanya, orang ramai perlu tahu untuk berdakwah tidak perlu secara ekstrem tetapi lembut dan berhemah.
“Dakwah tidak perlu maki hamun orang. Kita perlu berlembut kerana kadangkala cara itu sebenarnya lebih berkuasa,” katanya. – Berita Harian
KOMEN