Home » Langit Terbuka » ‘Dakwaan MH370 ditemui tidak berasas’

‘Dakwaan MH370 ditemui tidak berasas’

KUALA LUMPUR: Dakwaan penemuan serpihan pesawat MH370 dipenuhi lubang, dipercayai kesan tembakan adalah kenyataan tidak berasas.

Menyangkal dakwaan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata berkata kerajaan sentiasa bekerjasama dengan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dalam mengesahkan sebarang penemuan serpihan pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, penemuan serpihan pesawat MH370 kononnya berdasarkan penyelidikan menerusi aplikasi Google Earth serta Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) itu tidak mempunyai asas.

“Kita sentiasa bekerjasama dengan ATSB, selain mempunyai tenaga pakar yang berpangkalan di Australia untuk mengenal pasti sebarang penemuan di kawasan pencarian.

“Setakat ini kita masih mengenal pasti kawasan pencarian sebenar adalah dekat Australia, bukan di sebelah perairan Mauritius,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Portal berita antarabangsa, Daily Star Online, melaporkan jurutera mekanikal, Peter McMahon yang dikatakan berpengalaman dalam penyiasatan insiden nahas penerbangan lebih 25 tahun mengemukakan teori penemuan berbeza berhubung MH370.

McMahon, 64, dilaporkan berkata, penelitian berdasarkan imej NASA dan Google Earth sejak pesawat yang membawa 239 penumpang itu dilaporkan hilang menunjukkan kawasan pencarian sebenar bukan berada dekat dengan perairan Australia.

Sebaliknya, beliau mendakwa kawasan pencarian MH370 terletak kira-kira 16 kilometer selatan Round Island, iaitu berhampiran sebuah pulau kecil utara Mauritius.

Kawasan pencarian itu turut didakwa lokasi bangkai pesawat MH370 yang dipenuhi lubang kesan tembakan, namun sengaja disembunyikan pihak berkuasa kerana enggan menimbulkan penyiasatan daripada sudut berbeza.

Menyanggah fakta itu, Tiong Lai berkata, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut menjalankan analisis berdasarkan dokumen dan imej yang dikemukakan menerusi dakwaan McMahon.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu adalah tidak berasas, termasuk bangkai pesawat MH370 dipenuhi kesan lubang, dipercayai kesan tembakan.

“CAAM sudah mengenal pasti artikel ini dan didapati ia adalah tidak berasas, justeru orang ramai usah percaya dengan berita palsu sedemikian.

“Paling penting ialah ikuti laporan kita menerusi aplikasi dan laman web yang disediakan bagi mendapatkan maklumat terkini berhubung hasil pencarian MH370. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *