Home » Langit Terbuka » Daie Muda YADIM penerus legasi dakwah Islamiah

Daie Muda YADIM penerus legasi dakwah Islamiah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) meletakkan harapan tinggi kepada semua peserta siri kesembilan Daie Muda YADIM untuk menjadi pelapis baharu dalam menyampaikan dakwah di dalam negara. - Foto YADIM

HULU LANGAT – Program Akademi Daie Muda YADIM (DMY) diharapkan dapat melahirkan para daie yang mampu mengajak ummah melakukan kebaikan selari dengan slogan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) “Fastabiqul Khairat, Mengejar Kebaikan”.

Dengan menggunakan konsep Tekno Daie, ia jelas menunjukkan penguasaan kemahiran berteknologi, khususnya media sosial penting bagi setiap peserta dalam menyampaikan dakwah pada zaman serba moden ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, beliau meletakkan harapan tinggi kepada semua peserta siri kesembilan tersebut untuk menjadi pelapis baharu dalam menyampaikan dakwah di dalam negara.

“Kita harapkan mereka ini akan menjadi daie dan tenaga yang akan menyebarkan agama Allah SWT sesuai dengan bulan Rabiulawal ini di mana kita meraikan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

“Diharapkan program ini akan mencetuskan lagi kesedaran kita untuk menjadi penyambung kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW walaupun baginda telah lama tinggalkan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Akademi Daie Muda YADIM 2021 di Institut Latihan Dakwah Yadim, Hulu Langat, Selangor pada 18 Oktober.

Sementara itu, Yang Di Pertua YADIM, Nasrudin Hassan amat menitik beratkan kualiti para peserta, dengan memastikan mereka sudah bersiap sedia dari segi rohani dan jasmani, agar tidak terpalit dengan sebarang perbuatan negatif, yang secara langsung akan memburukkan imej seorang daie.

“Di sini kita bukan hanya sekadar mengajar tentang cara dakwah, tetapi semua perkara yang berkait dengan jati diri, kekuatan iman dan kemahiran teknologi,” katanya

Program Daie Muda YADIM 2021 yang akan ditayangkan di TV AlHijrah ini disertai oleh 24 peserta yang akan dibimbing oleh empat orang felo terkemuka antaranya Datuk Dr. Mohamad Fadzilah Kamsah, Isfadiah Mohamad Dasuki, Shah Kirit Kalkulal Govindji dan Firdaus Wong. –Al Hijrah Online

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *