Home » Langit Terbuka » Daftar tahfiz bukan untuk beri lesen

Daftar tahfiz bukan untuk beri lesen

Mendaftar bukan beerti mendapat dapat kelulusan, lesen dan sebagainya, sebaliknya ia soal disenaraikan supaya pihak berwajib tahu kewujudannya, jelas Menteri Wilayah Persekutuan, dalam isu pendaftaran pusat tahfiz

KUALA LUMPUR – Pusat tahfiz di ibu negara yang diwajibkan berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) bukan untuk tujuan perlesenan atau mendapat sebarang kelulusan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, ia bertujuan untuk memastikan premis kegiatan keagamaan mereka selamat dan sesuai dijalankan di situ.

“Sekiranya didapati tempat yang diguna pakai tidak selamat maka kita mungkin cuba cari tempat lain untuk mereka.

“Ini daftar bukan erti kata dapat kelulusan, lesen dan sebagainya, ini soal nak masuk dalam senarai supaya kita tahu mereka ini wujud.

“Kalau ada apa-apa masalah kita tahu lebih awal, jangan bila berlaku sesuatu baru kita tahu ada tahfiz di situ, selama ini kita pun tak tahu ada tahfiz,” katanya pada sidang media di bangunan DBKL, di sini, hari ini.

Sebelum ini Kementerian Wilayah Persekutuan memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada pusat tahfiz yang beroperasi di sekitar ibu negara untuk mendaftar dengan JAWI dan DBKL.

Langkah mewajibkan semua pusat tahfiz didaftarkan adalah untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan pembelajaran pelajar tahfiz berada dalam keadaan baik.

Khalid juga berkata, setakat ini terdapat dua badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu DBKL untuk menyenaraikan pusat-pusat tahfiz yang beroperasi di sekitar ibu negara.

“Kita ada hubungan baik dengan JAWI dan ada dua NGO yang sudi untuk bekerjasama untuk kita kenal pasti tempat-tempat yang menjalankan aktiviti maahad tahfiz untuk kita senaraikan.

“Bila kita kata nak daftarkan maknanya kita dia (pengusaha maahad tahfiz) datang dan lapor dan kita senaraikan dia,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *