Home » Langit Terbuka » Daesh tubuh sel latih pengganas di Sabah

Daesh tubuh sel latih pengganas di Sabah

Tan Sri Mohamad Fuzi Harun

 

KUALA LUMPUR – Polis Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 10 individu termasuk seorang wanita yang disyaki terbabit dalam aktiviti menguruskan kemasukan anggota pengganas dari Sabah ke Selatan Filipina.

Suspek membabitkan empat rakyat Malaysia dan enam warga Filipina berusia antara 27 hingga 50 tahun ditahan pada 24 Januari hingga 6 Februari lalu, di sekitar Sabah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penahanan itu membongkar pembabitan suspek bagi menubuhkan sel untuk melatih anggota pengganas melancarkan serangan pada masa hadapan.

Menurutnya, pada 25 dan 26 Januari lalu, lima lelaki termasuk dua warga Filipina ditahan di Sandakan, Sabah dan hasil siasatan mendapati salah seorang daripada suspek warga Filipina berusia 39 tahun itu pernah berbai’ah taat setia di hadapan pemimpin kanan kumpulan pengganas di Selatan Filipina pada tahun 2000.

“Malah, suspek itu juga pernah terlibat dalam beberapa siri latihan ala ketenteraan di salah sebuah kem di Selatan Filipina serta menerima arahan daripada seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh di negara itu untuk menguruskan kemasukan beberapa anggota pengganas Daesh dari Sandakan untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Zamboanga, Selatan Filipina.

“Empat lagi suspek yang ditahan dalam serbuan itu pula bertanggungjawab dalam membantu suspek berusia 39 tahun itu dalam menguruskan kemasukan anggota pengganas asing ke Selatan Filipina dengan menjadikan Sandakan sebagai transit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati kelima-lima suspek ini masing-masing bekerja sebagai buruh, pengurup wang tidak berlesen, pemandu bot penumpang dan penganggur.

Pada 4 Februari lalu, empat suspek yang terdiri daripada tiga lelaki warga Filipina dan seorang wanita tempatan telah ditahan di Penampang, Sabah.

Mohamad Fuzi berkata, penahanan mendapati salah seorang suspek warga Filpina itu merupakan anggota kanan kepada pemimpin Abu Sayyaf Group (ASG) yang berpangkalan di Basilan, Selatan Filipina, manakala seorang lagi suspek lelaki berperanan bagi mengatur kemasukan warganegara asing ke Selatan Filipina untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Susulan itu, pada 6 Februari pula, PDRM turut menahan seorang pemandu teksi warga Filipina yang mempunyai taraf pemastautin tetap yang bertindak membantu anggota kumpulan pengganas berkenaan.

Katanya lagi, penahanan 10 suspek ini berjaya mendedahkan cubaan kumpulan pengganas ASG untuk menubuhkan sel di Sabah yang bertujuan sebagai persiapan untuk mengatur penyusupan masuk anasir-anasir perjuangan Daesh dari rantau Asia Tenggara yang menjalani latihan ketenteraan di Selatan Filipina.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Fuzi turut memberitahu berhubung kejayaan pihak berkuasa Singapura memberkas seorang lelaki tempatan yang berasal dari Pulau Pinang, pada 18 Januari lalu kerana disyaki merancang menyertai Daesh di Syria.

“Suspek berusia 34 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu diserahkan kepada pihak Cawangan Khas di Johor Bahru pada 2 Februari lalu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, semua suspek ditahan mengikut Bab VIA Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *