Home » Persuasif » Cukup IS… Jangan Musnahkan Lagi!

Cukup IS… Jangan Musnahkan Lagi!

Oleh NOOR AZIZAH AHMAD

Apa perasaan anda kalau Masjid Kampung Hulu, di Melaka (dibina pada 1782) iaitu masjid tertua di negara ini yang masih digunakan, tiba-tiba dimusnahkan? Bagaimana kalau kota A’Famosa diruntuhkan? Jika Batu Bersurat Terengganu serta manuskrip-manuskrip Melayu lama pula dihancurkan, bagaimana?

Tiada siapa di kalangan kita yang waras akal fikirannya dapat menerima tindakan ganas ini. Apatah lagi kalau monumen, artifak dan bahan-bahan sejarah negara dimusnahkan atas nama agama. Atau dilarikan serta dijual untuk mendapatkan wang.

Kita kata itu `GILA!’. Kita kata itu `MELAMPAU’. Tapi perbuatan gila dan melampau itulah yang sedang berlaku di Syria ketika ini. Si pengganasnya ialah kumpulan militan Negara Islam (IS), yang kononnya mahu membina sebuah kerajaan dunia berteraskan syariat Islam sebenar.

Pada penghujung Ogos tahun lalu, pengganas itu memusnahkan Kuil Bel di Palmyra. Ya, kuil itu bukan untuk penganut Islam. Ia kuil untuk penyembah Dewa Bel, iaitu agama kuno Mesopotamia ribuan tahun lalu.

Bel adalah Tuhan segala Tuhan, yang disembah oleh masyarakat Assyria, Babylon dan Akkad di samping dewa bulan, Aglibol, dan dewa matahari, Yarhibol. Kuil yang dibina pada kurun ke-3 Sebelum Masihi (SM) itu dianggap sebagai kuil yang paling penting di Timur Tengah.

Kuil Baal Shamin, juga di Palmyra, turut dimusnahkan IS. Kuil itu dibina pada abad ke-2 SM untuk memuliakan dewa-dewi masyarakat Kanaan. Ketika agama Kristian melebar ke wilayah Syam, kuil ini dijadikan gereja.

Selain kuil-kuil tadi, Tujuh Kubur Menara, Menara Elahbel, Kubur Lamliku dan Atenatean juga rebah dihancurkan IS. Bukan itu saja, tiang, tembok dan peninggalan kota purba Palmyra yang dibina dengan batu berwarna merah turut menyembah bumi.

Bayangkan, Palmyra mula dibangunkan sekitar tahun 2000 SM. Di sekitarnya dijumpai bukti-bukti petempatan zaman Neolitik sekitar 7500 SM. Ia menjadi kebanggaan warga Syria kerana mempunyai sejarah yang cukup panjang dan menakjubkan. Di dalamnya terkandung pengaruh Greek, Roman, Arab, Hellenistik, Aramaic dan sebagainya.

Dan tentu sekali, kisah Ratu Zenobia yang cantik jelita, yang memerintah Palmyra pada 267 – 272 Masihi, sebelum ditumbangkan oleh tentera Rom. Palmyra menyimpan bukti-bukti pertembungan dan perebutan kuasa, budaya serta militari antara empayar Barat dan Timur.

Ketiga-tiga tempat yang disebut tadi telah diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO. Bererti, ia perlu dilindungi dan dihormati. Tetapi IS adalah pengganas yang melampau. Mereka menghancurkannya begitu saja.

Paling menyedihkan, IS telah membunuh Khaled al-As’ad, 80, yang menghabiskan sebahagian besar hayatnya menjaga, menyimpan dan memelihara artifak-artifak sejarah kota purba itu. Puncanya, Khaled enggan mendedahkan tempat beliau menyimpan artifak-artifak yang sempat disembunyikan.

Pelik, memang pelik. Adakah kota purba itu boleh menyebabkan syirik? Adakah Kuil Bel dan Baal Shamin boleh mengajak orang murtad? Adakah Palmyra membangkitkan semangat warga Syria untuk bangkit menentang IS?

Jawapannya, TIDAK. Kalau begitu, kenapa IS menghancurkannya?

Selain Palmyra, IS juga merosakkan kubu Krak des Chevaliers, di Homs. Ia merupakan kubu besar yang asalnya dibina oleh orang Kurdish di puncak bukit setinggi 650 meter dari aras laut pada kurun ke-11, sebelum dibesarkan lagi oleh pihak-pihak yang menguasainya.

Kubu ini menyimpan sejarah yang cukup panjang, khususnya Perang Salib. Pada kubu ini terpamer pengaruh Kristian dan Islam. Ia turut menjadi salah satu lambang perjuangan Salahuddin Al-Ayubi untuk membebaskan Masjid al-Aqsa dan Jerusalem daripada penjajahan Kristian dalam Perang Salib.

Malangnya, IS telah meletupkan salah satu menaranya hingga hancur berkecai. Maka musnahlah sebahagian daripada monumen sejarah kubu itu.

Selain Palmyra dan Krak des Chevaliers, IS memusnahkan patung singa Assyria di Ar-Raqqah (tidak jauh dari Aleppo), yang dibina pada kurun ke-8 Masihi. Sebuah lagi patung singa di tapak arkeologi Arslan Tash turut dihancurkan. Pemusnahan itu kemudian disiarkan oleh IS dalam majalah terbitan mereka, Dabiq.

Tempat-tempat bersejarah seperti Bosra, kota lama Damascus dan kota purba Aleppo juga ranap. Masjid, makam, kubur, gereja dan souq dibom, dibakar serta dihancurkan. Antaranya ialah Souq Al-Madina di Aleppo, salah sebuah pasar lama yang terbesar di dunia. Ia dibina pada abad ke-14 dan sepanjang 13 kilometer.

Satu lagi kejahatan IS ialah mereka menjarah muzium-muzium yang menempatkan artifak-artifak berharga. Muzium Homs dan Muzium Hama menjadi mangsa. Antara yang hilang adalah patung gangsa zaman Aramean (sekitar abad ke-10 SM).

Muzium Al-Raqqah diceroboh pada 1 Mei 2012. Antara yang dicuri ialah tiga buah patung Dewi Ishtar dan pinggan mangkuk berusia ribuan tahun.

Huh… senarainya masih panjang lagi, tapi cukuplah setakat ini saja.

***********

Apakah tujuan pengganas IS lakukan semua kerosakan ini? Pertama, kononnya untuk menjaga akidah umat Islam, iaitu membendung perbuatan syirik dan khurafat – sesuai dengan fahaman Salafi/Wahabi yang menjadi pegangan mereka. Bagi militan IS, memusnahkan makam, kubur, patung, kuil, rumah ibadat bukan Islam dan kota lama sebelum Islam ini adalah sejajar dengan perintah agama.

Perbuatan itu sengaja dirakam menggunakan kamera video, kemudian disebarkan. Tujuannya untuk mendapatkan perhatian dunia. Liputan oleh media massa secara tidak langsung menjadi propaganda IS bagi menunjukkan kekuatan mereka kepada dunia.

IS juga sengaja memusnahkan peninggalan-peninggalan lama itu bagi menghapuskan ingatan masyarakat terhadap sejarah tamadun silam. Melalui cara itu, mereka berharap dapat melahirkan generasi baru yang hanya tahu tentang pemikiran IS sahaja.

Dan yang paling utama, barang-barang bersejarah sengaja dicuri untuk mendapatkan wang serta dana kewangan bagi membiayai aktiviti keganasan mereka.

Dikatakan, ia dijual di pasaran gelap sekitar Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara. Nilainya mencecah berbillion dollar!

Bukan setakat di Syria, untuk pengetahuan anda, IS melakukan perkara yang serupa di Iraq. Bermula Jun 2014 selepas menawan Mosul sehingga Februari 2015, sekurang-kurangnya 28 buah rumah ibadat telah mereka musnahkan. Barang-barang berharga di dalamnya dicuri serta dijual.

Muzium Mosul, kota lama Dur Sharrukin yang dibina pada abad ke-8, Istana Bash Tapia (dibina pada abad ke-12) telah dimusnahkan dan barang-barang berharganya dicuri.

Pada 5 Mac 2015, IS mula menghancurkan kota Nimrud, yang dibangunkan oleh kerajaan Assyria pada abad ke-13 SM. Istananya diratakan dengan jentolak, patung Lamassu (dianggarkan berusia 5000 tahun) di gerbang Istana Ashurnasirpal dihancurkan.

Tindakan ganas ini membuktikan betapa sempit dan ganasnya pemikiran IS. Ia jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Ini kerana, tempat-tempat bersejarah perlu dipelihara dan dijaga. Ia merupakan `kitab’ yang mencatat segala susur galur kebudayaan dan tamadun sesuatu bangsa.

Bangunan dan artifak-artifak sejarah juga perlu dipelihara bagi meningkatkan semangat patriotisme rakyat. Dari segi ekonomi dan budaya pula, ia boleh digunakan sebagai daya tarikan pelancong, yang seterusnya dapat menjana pendapatan negara.

Dan yang penting, bahan-bahan sejarah itu mengandungi bukti tentang apa yang terjadi kepada masyarakat yang ingkar, zalim serta mendustakan Allah (Surah an-Naml: 69). Itulah iktibar yang dapat kita ambil daripada pembinaan Piramid, Madain Salleh, Palmyra, Krak des Chevaliers, Kuil Bel, patung Lamassu dan sebagainya.

“Pergilah berjalan (mengembara) di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana akibat orang yang mendustakan Allah.”  (al-Anam: 11)

Syaratnya, semua ini perlu dihayati dengan mata hati, seperti firman-Nya, yang bermaksud:  “Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada”. – (Al-Hajj: 46)

Berdoalah agar bencana ini tidak berlaku di negara kita yang tercinta ini. Berdoalah juga agar kita tidak dipimpin, diserang atau dijajah oleh golongan yang berfikiran sempit dan melampau, serta menyalahgunakan agama sesuka hati.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *