PULAU PINANG 10 Julai – Cubaan sebuah pusat teater di sini, Performing Arts Centre of Penang (Penangpac) menayangkan filem bertemakan gay malam esok mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang meluahkan rasa tidak puas hati menerusi laman sosial.
Pendedahan tayangan itu dilaporkan sebuah portal berita menara.my yang mendakwa, Penangpac akan menayangkan filem berjudul Lost In Paradise itu selama dua jam di Straights Quay Tanjung Tokong, di sini bermula pukul 8 malam esok.
Menurut portal berkenaan, filem itu mengisahkan percintaan tiga segi antara tiga lelaki dan berlatarbelakangkan sindiket pelacuran kaum sejenis di Ho Chi Minh.
“Filem yang diberi jolokan nama ‘filem gay pertama di Vietnam’ oleh Agence France-Presse itu pernah menjadi tayangan pembuka di Festival Lesbian dan Gay di Hong Kong pada 2010.
“Sebuah portal berita komuniti gay antarabangsa pernah mendedahkan filem ini banyak memuatkan babak lelaki kacak bertubuh sasa yang mendedahkan tubuh dalam posisi mengghairahkan untuk membangkitkan nafsu para penonton,” katanya seperti dipetik dalam portal itu di sini hari ini.
Seorang pembaca, Airul Nizam berkata, dia berasa bimbang masa hadapan generasi akan datang dan meminta rakyat menolak kepimpinan DAP Pulau Pinang yang disifatkannya sebagai sewenang-wenangnya meluluskan tayangan tersebut.
“Selamatkan masa depan anak-anak kita, agama Islam dan kedaulatan Malaysia dengan #tolakDAP,” tulisnya
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di laman web Penangpac hari ini mendapati, Penangpac telah menukar tontonan tersebut kepada filem bertajuk West Side Story.
Dalam pada itu, Utusan Malaysia difahamkan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang mengadakan bantahan aman di Straights Quay Tanjung Tokong di sini malam esok bagi membantah cubaan menayangkan filem itu. – UTUSAN ONLINE
KOMEN