Home » Langit Terbuka » Cubaan hidup Aurad Muhammadiyah, mudir dan pembantu disiasat

Cubaan hidup Aurad Muhammadiyah, mudir dan pembantu disiasat

Mudir dan pembantu mudir sebuah madrasah di Rembau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH ketika dibawa ke Mahkamah Syariah Seremban, hari ini. - BERNAMA

SEREMBAN: Mahkamah Rendah Syariah di sini membenarkan permohonan bon jaminan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap mudir sebuah madrasah di Rembau dan pembantunya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH).

Hakim Syarie Yuhanis Yusop yang membuat keputusan itu memerintahkan mudir berusia 46 tahun itu membayar bon jaminan RM1,500, manakala pembantunya berusia 54 tahun dikenakan RM3,500.

Yuhanis membuat keputusan susulan permohonan Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah bagi tujuan melengkapkan siasatan, selain memastikan mereka hadir pada tarikh sebutan semula pada 12 November depan.

Mahkamah turut memerintahkan syarat tambahan ia menyerahkan pasport masing-masing dan tidak dibenarkan mengganggu saksi serta melaporkan diri setiap bulan kepada Ketua Penguatkuasa Agama Rembau.

Terdahulu, dua individu terbabit ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau sejurus memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan menerusi Op Global, petang semalam.

Mudir dan pembantunya itu disiasat mengikut Seksyen Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam Negeri Sembilan 1996 kerana madrasah beroperasi tanpa kebenaran.

Pembantu mudir itu juga disiasat mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Pindaan 2019) kerana mengajar ajaran salah serta Seksyen 53 akta sama kerana mengajar agama tanpa tauliah.

Pengarah JHEAINS, Mohd Asri Abdullah berkata polis menahan dua individu berkenaan melalui Op Global bersama-sama Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS pada 21 September lalu untuk siasatan lanjut berkaitan pengoperasian sekolah agama tanpa kebenaran di Kampung Senama Hilir, Rembau.

“Soal siasat kemudian mendedahkan cubaan dua suspek itu menghidupkan semula ajaran Aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *