LISBON – Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo menarik perhatian dalam isu Syria apabila menyatakan sokongannya kepada kanak-kanak di negara bergolak itu melalui pesanannya di media sosial.
“Kuatkanlah, yakinlah, jangan pernah menyerah,” tulis Ronaldo di Twitter pada Selasa (13 Mac), untuk menarik perhatian kepada tindakan kekerasan terhadap kanak-kanak Syria.
Beliau juga memuat turun rakaman video tentang serangan terhadap orang awam di Ghouta Timur, Syria pada Februari 2018, demikian Anadolu Agency.
Ghouta Timur, daerah di pinggiran ibu kota Damaskus, telah dikepung selama lima tahun dan bantuan kemanusiaan ke daerah tersebut terputus, menyebabkan sekitar 400,000 penduduk terperangkap di daerah itu.
Selama lapan bulan terakhir, pasukan Presiden Syria, Bashar al-Assad telah meningkatkan kawalan di Ghouta Timur, sehinggakan hampir mustahil bekalan makanan dan ubat-ubatan masuk bagi merawat ribuan pesakit.
Ronaldo bekerjasama dengan badan sukarela, Save the Children dan telah menyumbangkan makanan, pakaian dan perubatan kepada keluarga yang terlibat dalam konflik di Syria.
Pada Februari, Ronaldo juga memuatkan foto di Twitter sebagai tanda sokongannya kepada kanak-kanak Rohingya. – MINA
KOMEN