KUALA TERENGGANU – Lelaki Islam mukallaf yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali berturut-turut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak berdosa kerana hukumnya adalah harus bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19 ketika ini.
Timbalan Mufti Terengganu, Sahibul Fadilah Ahadi Othman, berkata solat Jumaat yang ditinggalkan itu wajib digantikan dengan solat Zuhur di kediaman masing-masing.
“Harus hukumnya untuk meninggalkan solat Jumaat di masjid walaupun tiga kali berturut-turut dalam tempoh PKP ini, namun wajib digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.
“Ketetapan hukum ini adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh iaitu yang bermaksud keadaan sempit yang menyebabkan perkara yang dilarang.
“Ketetapan hukum ini juga bersandarkan kepada hadis Nabi Muhamad SAW yang bermaksud, sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.
“Mereka (sahabat) bertanya kepada Rasulullah, apakah keuzuran itu? Baginda menjawab, ketakutan dan kebimbangan atau penyakit, berdasarkan Hadis Riwayat Abu Daud,” katanya.
Beliau berkata, penjelasan ini diharap membantu umat Islam supaya tidak keliru walaupun tidak mengerjakan solat Jumaat di masjid tiga kali berturut-turut.
Pada masa sama beliau mengharapkan semua peringkat masyarakat tidak ingkar dengan arahan pihak berkuasa sebaliknya dapat mematuhi PKP yang bakal berakhir 14 April ini sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
Katanya, pematuhan arahan ini amat penting dan dituntut bagi mengelakkan PKP dilanjutkan ke suatu tempoh yang mungkin tiada penghujungnya.
“Kita semua pasti amat merindukan kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba dan seterusnya Aidilfitri, tapi sekiranya kita masih mengambil mudah dengan arahan PKP ini, tidak mustahil mungkin tahun ini kita tidak dapat mengecapi kenikmatan ibadat di bulan Ramadan sebagaimana tahun-tahun sebelum ini,” katanya. – Berita Harian
KOMEN