SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan kerana masih ada rakyat yang degil dan tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak pelaksanaannya pada 18 Mac lepas.
Baginda bertitah kedegilan dan sifat pentingkan diri sendiri dalam situasi kritikal sekarang hanya menyusahkan banyak pihak khususnya petugas barisan hadapan.
Sultan Selangor juga menzahirkan kekhuatiran sekiranya penularan wabak berkenaan berlarutan dan jumlah kes jangkitan terus meningkat, yang boleh menyebabkan tempoh PKP terpaksa dilanjutkan lagi.
“Ia sekali gus akan menjejaskan lagi kegiatan harian rakyat dan memberi impak serius terhadap pendapatan golongan di pelbagai peringkat seperti peniaga dan usahawan kecil,” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook Selangor Royal Office pada 24 Mac.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin diberi taklimat oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengenai kedudukan semasa penularan wabak COVID-19 di negeri itu serta perkembangan terkini mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 Selangor.
Justeru itu, baginda bertitah meminta rakyat supaya kekal berada di rumah serta menasihatkan individu yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19 supaya segera tampil ke hospital bagi menjalani pemeriksaan dan pengasingan.
Sultan Sharafuddin turut menggesa individu yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling pada akhir Februari lepas supaya tampil menjalani saringan kesihatan.
Baginda juga menasihatkan semua rakyat supaya mematuhi PKP demi memastikan rantaian wabak COVID-19 dapat dihentikan. – Bernama
KOMEN