Home » Langit Terbuka » Covid-19: Solat Jumaat tetap diteruskan

Covid-19: Solat Jumaat tetap diteruskan

Berdasarkan situasi semasa Covid-19, setakat ini tiada keperluan untuk tiadakan solat Jumaat di masjid, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) - Foto Indahnya Islam

PUTRAJAYA – Solat Jumaat akan diteruskan di masjid seluruh negara meskipun terdapat penularan wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia selaras dengan Firman Allah SWT dan hukum asal solat Jumaat iaitu wajib.

“Berdasarkan situasi semasa, setakat ini tiada keperluan untuk tiadakan solat Jumaat di masjid,” katanya.

Bagaimanapun katanya, setiap masjid perlu mengambil langkah bagi mengurangkan risiko penyebaran Covid-19.

“Orang ramai disarankan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid dan khutbah perlu dipendekkan bagi mengurangkan jemaah terdedah dengan persekitaran,” katanya yang turut menyarankan pihak masjid menyediakan topeng muka dan cecair pembasmi kuman.

Beliau berkata, sekiranya Covid-19 merebak dan tidak terkawal, dibolehkan solat Jumaat tidak dilakukan dan digantikan solat Zuhur di rumah masing-masing.

“Dalam hal ini beberapa garis panduan akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanatnya di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada 12 Mac.

Turut hadir, Timbalannya, Marzuk Shaary dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Hal Ehwal Kemajuan Islam (Jakim) Hakimah Yusof.

Menyentuh mengenai keperluan perhimpunan keagamaan, Zulkifli berkata, ia perlu ditangguhkan.

“Ya. Apa- apa himpunan perlu ditangguhkan,” katanya.

Zulkifli berkata, Jabatan Perdana Menteri telah menyediakan lima kertas kerja yang menyentuh mengenai permasalahan solat Jumaat, bersalaman, kenduri kahwin dan pengurusan mandi jenazah berkaitan Covid-19.

“InsyaAllah kita akan kemukakan dalam masa terdekat kepada Majlis Fatwa untuk diputuskan,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli mengimamkan solat duha dan solat hajat bersama jemaah sebaik tiba di masjid pada jam 8.50 pagi tadi.

Selesai solat, beliau turut menyampaikan amanat sebelum mengetik perakam waktu pada jam 9.45 pagi.

Semalam, Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Mohd Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan mengambil langkah pencegahan penularan Covid-19 termasuk cadangan menghentikan solat jemaah dan solat Jumaat di masjid. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *