Home » Langit Terbuka » COVID-19: Jangan panik, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

COVID-19: Jangan panik, patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

Rakyat Malaysia diminta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan pada 18 Mac ini bagi membendung penularan Covid-19. - Foto Malay Mail

KUALA LUMPUR – “Jangan panik, jangan cemas, dan sentiasalah bertenang.”

Demikian nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 di dalam negara pada 16 Mac.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara itu adalah bagi menyekat penularan wabak COVID-19 dalam masa terdekat.

“Kita melihat beberapa buah negara yang mengambil langkah yang agak drastik untuk mengawal penularan wabak ini seperti negara China yang telah menunjukkan penurunan mendadak kes-kes jangkitan COVID-19.

“Saya juga ingin memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka adalah mencukupi.

“Saya telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini berkuatkuasa,” kata Muhyiddin.

Muhyiddin juga merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan dilaksanakan bermula Rabu, 18 Mac hingga 31 Mac ini.

“Ini adalah tanggungjawab kita bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara akan bermesyuarat setiap hari untuk memantau dan mengawasi situasi wabak COVID-19.

“Saya sendiri akan mempengerusikan mesyuarat ini dan memaklumkan kepada saudara-saudari perkembangan situasi wabak COVID-19 dari semasa ke semasa,” tambahnya. – Awani

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *