SHAH ALAM – Kadar perbelanjaan umat Islam di Malaysia untuk menyambut Aidilfitri didapati mengalami pengurangan sebanyak 50 peratus.
Keadaan tersebut berlaku ekoran langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu bagi menghalang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Langkah itu memberikan kesan besar terutama dari segi ekonomi yang menyaksikan banyak perniagaan terjejas teruk dan ada dalam kalangan rakyat hilang pekerjaan.
Bagaimanapun, kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sektor perniagaan kembali beroperasi.
Ekoran itu, ramai dalam kalangan umat Islam mengambil langkah berjimat cermat dan tidak boros berbelanja seperti kebiasaan yang dilakukan sebelum ini, sekali gus menyambut hari raya secara sederhana.
Menurut pakar kewangan pengguna, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri, secara purata rakyat Malaysia berbelanja di antara RM1,000 hingga RM3,000 untuk menyambut hari raya.
“Berdasarkan pemerhatian pada tahun ini didapati perbelanjaan pengguna berkurangan sebanyak 50 peratus kerana beberapa faktor seperti tiada lagi kos pengangkutan, penyelenggaraan kenderaan, minyak dan tol kerana tidak balik ke kampung disebabkan PKP.
“Pengguna juga tidak berbelanja besar untuk membeli pakaian yang menelan kos tinggi termasuk keperluan untuk menyediakan duit raya dan jumlah makanan yang banyak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Beliau yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, golongan yang paling terkesan disebabkan PKP ialah penduduk di bandar.
“Ini kerana kos sara hidup di bandar jauh lebih tinggi berbanding di luar bandar yang masih boleh membeli barang keperluan asas pada harga rendah.
“Sejak Covid-19 melanda negara, golongan yang tinggal di bandar yang menjadi miskin bandar semakin meningkat kerana ada perniagaan tidak dapat beroperasi, pemotongan gaji dan berlaku pembuangan pekerja,” katanya. – Sinar Harian
KOMEN