JIKA anda peminat anime dan gemar menggayakan kostum ‘cosplay’ … sila ambil perhatian!
Mengenakan kostum sedemikian, jika ia mendedahkan aurat atau menyerupai dewa mana-mana agama, kepercayaan dan rekaan seperti Beerus, Haruhi Suzumiya, Deus Ex Machina, hukumnya adalah haram.
Dalam entri siri terbaru Bayan Linnas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri di Facebook dan laman sesawangnya, ia adalah berdasarkan riwayat Abu Daud (4031) yang menyebut, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dari bahagian mereka.”
Entri itu selanjutnya menjelaskan, biarpun tiada kaitan jelas antara pemakaian kostum dengan pegangan akidah, namun hukum yang jatuh adalah demi menjaga jati diri seorang Muslim.
“Sekiranya ada yang mempersoalkan kaitan pemakaian kostum dewa-dewa dengan akidah, kami katakan bahawa ia bukan isu tergugat atau rosaknya akidah tetapi ia adalah isu jati diri seorang Muslim,” entri itu menyebut.
Bukan itu sahaja, jika pembelian kostum itu membabitkan pembaziran wang yang banyak, hukumnya juga jatuh haram.
Turut disebutkan adalah hukum memakai kostum badut yang secara umumnya adalah makruh, namun dibolehkan jika dibuat atas tujuan pendidikan dan hiburan kanak-kanak.
Pun begitu, beberapa syarat perlu dipatuhi antaranya tidak meninggalkan kewajipan sebagai Muslim, tidak menjatuhkan maruah orang lain dan tidak berbohong dalam berjenaka. – ASTRO AWANI
KOMEN