Home » Langit Terbuka » Chatime dapat sijil halal Jakim

Chatime dapat sijil halal Jakim

PENGARAH Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menyampaikan sijil pengesahan Halal JAKIM kepada Pengarah Eksekutif Chatime Malaysia Widayu Latiff di Kompleks Islam Putrajaya hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia, Aliza Ali (kanan).

PUTRAJAYA: Chatime Malaysia Sdn Bhd, pemegang francais induk minuman teh berjenama Chatime yang diasaskan di Taiwan, hari ini menerima Sijil Pengesahan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Aliza Ali berkata penganugerahan sijil halal itu akan dapat meningkatkan keyakinan pengguna selain membolehkan syarikat itu berkembang ke peringkat antarabangsa terutama Asia Barat.

Pengiktirafan itu juga akan dapat membantu pengguna untuk membezakan jenama Chatime dan Tealive, yang juga dua entiti berbeza.

“Chatime dan Tealive tidak ada kena-mengena. Chatime dan Tealive tidak menjual minuman yang sama atau yang dihasilkan daripada bahan yang sama. Persepsi masyarakat ini perlu diperbetulkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Sijil Pengesahan Halal kepada Chatime Malaysia di sini hari ini.

Menurut Aliza, jenama Chatime memasuki Malaysia pada 2011 dan Will Group adalaj pemilik penuh Chatime Malaysia Sdn Bhd serta pemegang francais induk Chatime.

Pemilik jenama global Chatime ialah La Kaffa International Co.

Menurutnya lagi, Loob Holding Sdn Bhd, yang kini merupakan pemilik teh jenama Tealive, ditamatkan kontrak sebagai francais induk Chatime di Malaysia pada tahun lalu.

Berikutan penamatan kontrak Loob Holding, masih terdapat empat cawangan yang kekal bersama Chatime Malaysia dan pengembangan operasi diteruskan dengan pembukaan 30 cawangan baharu pada tahun lepas, menjadikan kesemuanya 34 cawangan Chatime di seluruh negara, katanya.

“Bulan depan lapan cawangan baharu akan dibuka termasuk di Jeti Langkawi, First Avenue Pulau Pinang, Plaza Masalam, Genting Highlands dan AEON Mall Kuching.

“Pada suku keempat tahun ini, Chatime akan membuka cawangan di Mekah dan Madinah manakala pada tahun depan Chatime akan beroperasi di pusat membeli-belah terbaharu di Singapura, Jewel Changi,” kata Aliza.

Aliza berkata Chatime Malaysia telah menghantar surat tuntutan kepada Loob Holding pada minggu lalu berhubung laporan media bertajuk ‘Chatime dinamakan semula sebagai Tealive’ yang menyebabkan banyak pihak terkeliru dan beranggapan jenama Chatime sudah tidak beroperasi.

Aliza dalam pada itu berkata visi Chatime Malaysia untuk lima tahun akan datang ialah untuk membuka 150 cawangan lagi di dalam dan luar negara dengan modal pembangunan sebanyak RM100 juta dan sasaran jualan RM1.2 bilion.-BERNAMA

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *