Home » Langit Terbuka » Charlie Hebdo buat hal (lagi), peringati serangan berdarah dengan perolok Tuhan, Nabi

Charlie Hebdo buat hal (lagi), peringati serangan berdarah dengan perolok Tuhan, Nabi

Muka depan edisi khas Charlie Hebdo dipasarkan hari ini. - Foto AFP

Akhbar satira Perancis, Charlie Hebdo buat hal lagi dengan melancarkan edisi khas sempena memperingati 10 tahun serangan berdarah dua penyerang bersenjata tetapi dengan ‘menyerang’ agama, iaitu memperolok-olokkan Tuhan dan Nabi Muhammad SAW serta simbol agama lain.

Muka hadapan edisi yang mengenang peristiwa mengorbankan 12 nyawa termasuk lapan kakitangan editorialnya, menampilkan kartun mendabik dada terhadap kewujudan akhbar dengan keterangan ‘Indestructible!’

Bahagian dalamnya pula, Charlie Hebdo menggunakan empat halaman untuk mempersembahkan 40 karya terpilih daripada 350 penyertaan.

Sebelum ini, akhbar itu menganjurkan pertandingan kartun dan karikatur yang mensyaratkan peserta menghasilkan karya mengejek Tuhan dan tokoh agama.

Bagi Charlie Hebdo seperti dalam tulisan editorial oleh Riss yang juga pengarahnya, apa dihasilkan itu melambangkan optimisme kononnya membolehkan semua orang melalui tahun tragik.

“Jika anda mahu ketawa, itu bermakna anda mahu hidup. Ketawa, ironi dan karikatur adalah manifestasi optimisme. Apa pun berlaku, sama ada tragik atau menggembirakan, keinginan untuk ketawa tidak akan padam,” tulis Riss seperti dipetik AFP.

Dalam serangan pada 2015 itu, ia dilakukan dua beradik rakyat Paris berketurunan Algeria, sebagai balasan terhadap keputusan akhbar terbabit menerbitkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW.

Pembunuhan itu dianggap menjadi permulaan kepada siri plot ganas oleh al-Qaeda dan Daesh yang meragut ratusan nyawa di Perancis dan Eropah Barat dalam tahun-tahun berikutnya.

Edisi khas diumumkan kepada media, semalam itu, akan mula dijual secara meluas hari ini serentak dengan acara memperingati peristiwa itu yang turut dihadiri Presiden Perancis, Presiden Emmanuel Macron dan Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo.

Antara kartun diterbitkan seperti dilaporkan AFP ialah kartun seorang pelukis melukis pelukis lain yang sedang menghasilkan karikatur yang boleh difahami merujuk kepada Nabi Muhammad.

Ini kerana keterangan dalam karikatur itu: “Jika saya melukis seseorang yang sedang melukis seseorang yang melukis Nabi Muhammad, adakah itu dibenarkan?”

Dalam Islam, wajah Nabi Muhammad SAW tidak boleh dilukis kerana keindahan Baginda tidak mungkin dapat dipaparkan dalam bentuk gambar, sekali gus menjadikan sebarang usaha melukisnya adalah pendustaan.

Malah, kartun lain pula menunjukkan watak dikatakan tokoh agama Kristian, Yahudi dan Islam tetapi digambarkan seperti anjing berkepala tiga.

Sejak menerima pelbagai ancaman, lokasi pejabat Charlie Hebdo dirahsiakan, manakala sidang editorialnya hidup di bawah perlindungan polis.

Pada masa sama, kes perbicaraan tertuduh dalam serangan lain di bekas pejabat Charlie Hebdo pada 2020 pula, iaitu seorang lelaki warga Pakisan berusia 29 tahun dan lima rakan dituduh bersubahat masih berlangsung.

Tak semua rakyat Perancis sokong

Meskipun Charlie Hebdo sering berlindung di sebalik kebebasan bersuara dan akhbar, tidak semua warga Perancis bersetuju orang ramai mempunyai hak untuk mengejek kepercayaan agama.

Dalam tinjauan agensi Ifop yang mendapat kerjasama akhbar itu, seramai 62 peratus respondan bersetuju dengan soalan itu.

Charlie Hebdo juga dikecam hebat di beberapa negara Islam kerana karikatur yang lancang dan jijik itu termasuk Malaysia.

Pengarang Kumpulannya, Gerard Biard mempertahankan pendirian Charlie Hebdo seperti dalam wawancara dengan AFP, baru-baru ini.

“Kami adalah akhbar idea. Kami tidak menyasarkan individu dan jika kami membuat karikatur, ia adalah terhadap apa yang mereka wakili, bukan siapa mereka,” katanya.

Bagaimanapun, ramai pengkritik menyifatkan Charlie Hebdo melampaui batas hingga menjadi Islamofobia kerana karikatur Nabi Muhammad SAW dihasilkan dan disiarkan mengaitkan Islam dengan keganasan.

Malah, Kristian turut menjadi sasaran akhbar itu apabila menggambarkan Virgin Mary dijangkiti virus mpox hingga mendorong dua organisasi Katolik di negara itu membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *