Home » Langit Terbuka » Cari titik penyelesaian isu syariah dan undang-undang Malaysia – Mufti

Cari titik penyelesaian isu syariah dan undang-undang Malaysia – Mufti

Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berpendapat, amat wajar dicari titik penyesuaian atau keharmonian antara syariah dan undang-undang di Malaysia.

Ia susulan kontroversi yang tercetus daripada keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 daripada 18 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan, baru-baru ini.

Wan Salim berkata, usaha sedemikian perlu digerakkan dengan tujuan bagi mencapai keamanan masyarakat dan negara serta menghilangkan keresahan atau ketegangan terjadi akibat keputusan dibuat mahkamah yang dilihat bertentangan dengan hukum syarak.

Katanya, usaha merapatkan kerenggangan antara kedua-dua jenis undang-undang ini, jika berjaya direalisasi akan memperlihat keselarasan dan kemesraan antara syariat Islam bersumberkan wahyu Ilahi dengan undang-undang yang disepakati negara moden.

“Ia adalah bagi mengatur segala hal ehwal manusia serta menyusun perhubungan antara sesama individu di satu sudut dan antara individu dan negara di satu sudut yang lain.

“Hubungan antara syariah dan undang-undang seharusnya terjalin dengan mesra dan ‘bersaudara’; bukan bermusuh, berbalah serta konfrontasi seperti ditanggapi oleh kumpulan ekstrem dan pengganas didorong oleh tujuan jahat yang bersarang di hati mereka dengan mengkafirkan masyarakat, kerajaan dan institusi perundangan serta kehakiman.

“Padahal institusi ini melaksanakan tanggungjawab bagi menegak keadilan dan keamanan untuk kepentingan masyarakat dan negara,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, undang-undang tidak digubal mengikut nafsu dan ia sejajar dengan peranan syariah dalam mengawal tindak tanduk manusia supaya tidak mengikut kehendak amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan.

Justeru Wan Salim berkata, setiap undang-undang yang bercanggah dengan syariat Islamiyah adalah terbatal dengan sendirinya kerana ia bertentangan dengan semangat Perlembagaan Negara yang menyatakan Islam adalah Agama Persekutuan.

“Perlu diperingatkan kembali kepada warga Malaysia, bahawa syariah (undang-undang Islam) sudah dilaksanakan sepanjang sejarah di Tanah Melayu sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka yang mana kodifikasi undang-undang Islam bermula pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah (1284 – 1341 M) dan Syariat juga turut dilaksanakan di Perlak, Samudra Pasai.

“Selain itu, Perjanjian Pangkor pada 1874 perlu dikaji bagi mengetahui sejauh mana ia merencatkan atau membantut pelaksanaan syariah di Tanah Melayu khasnya dan di Malaysia amnya,” katanya.

Menurut Wan Salim, berikutan sudah lebih 60 tahun negara merdeka daripada cengkaman penjajah, maka sewajarnya usaha mengharmonikan dan ‘mempersaudarakan’ antara syariah dan undang-undang ini dilakukan.

“Golongan pakar undang-undang perlu berganding bahu dengan ulama fiqh bagi menterjemahkan impian yang besar ini ke dalam realiti.

“Semoga suatu hari nanti jurang pemisah antara syariah dan undang-undang di negara kita akan dapat dirapatkan bagi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *