KUALA LUMPUR – Agensi agama memainkan peranan penting dalam menyampaikan dakwah terutamanya menyatuni generasi muda dengan kaedah komunikasi yang santai dan berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata usaha Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menganjurkan acara konvoi motosikal ke kampung-kampung Orang Asli menerusi Progam Semarak Dakwah, perlu menggunakan kaedah komunikasi yang mudah diterima oleh masyarakat itu.
“Agensi agama seperti YADIM memainkan peranan besar dalam berdakwah, cara dakwah (berkonvoi) seperti ini memberi kesan positif kepada generasi muda, sekurang-kurangnya berlaku komunikasi dakwah yang berkesan.
“Saya anggap peserta konvoi ini sebagai wira dan duta dakwah YADIM, saya berharap usaha ini dapat berjalan lancar dan gunalah pendekatan dakwah yang bersesuaian dengan masa kini,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Zulkifli menyempurnakan acara perlepasan peserta konvoi motosikal Jelajah Kampung Orang Asli di Jelebu, Negeri Sembilan dan Bentong, Pahang anjuran YADIM di perkarangan Kompleks Pusat Islam di sini.
Program Semarak Dakwah yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan itu termasuk sesi kaunseling, santai anak muda, ziarah prihatin, program bina insan dan program hiburan Islam.- Bernama
KOMEN