Home » Persuasif » Cantik dan Sihat dengan Sedekah

Cantik dan Sihat dengan Sedekah

Sebagai makhluk Allah yang ditakdirkan sebagai wanita, seorang wanita akan semakin terlihat cantik dengan bersedekah. Eh! Apa kena mengena sedekah dengan kecantikan? Begini huraiannya.

Dalam sebuah buku motivasi bertajuk ‘Cantik dengan Sedekah’ yang ditulis oleh Muthia Esfand dan Indriya R. Dani, mendedahkan formula unik. Mereka yakin bahawa perbuatan bersedekah merupakan manifestasi rasa kesyukuran atas rezeki dan nikmat yang Allah SWT kurniakan. Dengan bersedekah dan berkongsi kebahagiaan dengan orang lain, hakikatnya akan mendatangkan kebahagiaan kepada sesiapa sahaja yang bersedekah. Menerusi rasa bahagia itu, seseorang Muslimah akan memancarkan kecantikannya.

Muthia Esfand dan Indriya R. Dani juga mendedahkan bahawa dengan bersedekah penyakit yang sukar disembuhkan juga dapat diubati!

Keyakinan ini  diinspirasi oleh kisah benar seorang wanita karier yang menderita penyakit multiple sclerosis atau kelainan pada tulang belakang sebagaimana yang diceritakan dalam satu buku berjudul ’29 Gifts’  hasil tulisan Camy Walker . Penyakit yang dideritanya merubah kehidupan sehari-harinya secara drastik. Ia tidak lagi bergiat cergas sebagaimana sebelumnya kerana penyakit itu telah membuatnya lumpuh.

Hari-hari yang dilaluinya dipenuhi dengan keluhan terhadap penyakit yang dideritainya. Tidak ada perkara lain yang difikirkan melainkan penyakit yang dideritanya. Dia mula berputus asa dan merasa penyakitnya tidak dapat disembuhkan kerana tiada ubat yang boleh menjadi penawarnya.

Segalanya berubah apabila  wanita berpenyakit pelik itu terjumpa dengan seseorang yang tidak dikenalnya yang membuat kehidupannya ceria seperti sedia kala. Orang itu berpesan agar menghubungi semula kawan-kawan lamanya, berkongsi cerita dan menghulurkan sedekah kepada mereka.

Diringkaskan cerita, wanita itu melaksanakan ke semua 29 pemberian sesuai dengan apa yang disarankan oleh orang yang tidak dikenalinya itu. Sejak saat itu,dia mulai merasakan perubahan dalam kehidupannya. Dia mula sibuk dengan memberi sedekah dan sumbangan kepada orang lain.

Jika sebelum ini, dia asyik menyalahkan penyakitnya dan memikirkan dirinya yang tidak berdaya, namun dengan aktiviti sedekahnya kini, dia mula peka dengan orang lain. Dia mula lupa dengan keadaan penyakit tulang belakangnya lantaran begitu asyik bersedekah. Dari hari ke hari keadaannya semakin baik sehingga akhirnya dia disahkan bebas daripada penyakit yang dihidapinya.

Tidakkah kisah ini cukup memberi inspirasi kepada kita mengenai ‘keajaiban’ bersedekah?

Bagaimanapun, penting untuk dicatat, bahawa niat kita bersedekah bukanlah kerana niat-niat yang lain. Apatah lagi hanya nak tunjuk dan mempamerkan ibadah kita agar orang pandang tinggi status sosial kita. Bukan itu hakikat sebenar sedekah.

Dalam bersedekah, tentu saja niat kita semata-mata hanya untuk Allah, ikhlas dan menghayati makna sedekah yang sebenar. Dengan menghayati makna dan hakikat sedekah, akan menjadikan amalan itu sebagai kebiasaan dan rutin kita. Tidak ada lagi paksaan atau perasaan berat hati dalam bersedekah kerana ia tidak hanya mendatangkan pahala bagi kita akan tetapi ia bermanfaat dan mendatangkan kebahagiaan kepada orang lain. Bukankah kita sedia maklum bahawa dalam harta kita, ada hak orang lain?

Penghayatan sedekah akan semakin berkesan sekiranya kita mengingati bahawa sedekah merupakan salah satu amalan yang tidak pernah putus meskipun kita telah mati sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis Nabi SAW yang bersabda, “Apabila manusia mati, terputuslah semua amalan kecuali tiga perkara iaitu doa anak salih, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.”  

Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana. Allah tidak sekali-kali menyusahkan ciptaannya untuk menjalankan ibadah. Sekiranya tidak mampu bersedekah dengan wang, maka bersedekahlah dengan apa yang kita punya. Dengan senyuman yang ikhlas, orang lain pun boleh merasakan ketenangan dan ketenteraman jiwa.

Bersedekah dengan cara apapun secara rutin dan tanpa putus asa, nescaya Allah akan mengabulkan apa yang kita hajatkan. Ini termasuklah berkaitan dengan perkara-perkara yang membelit kehidupan sehari-hari. Insya-Allah dengan sedekah, Allah akan membuka tabir dan melapangkan jalan apa yang kita minta seperti mendapat jodoh yang diidamkan, ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal, berjaya dalam peperiksaan dan kerjaya, memudahkan segala urusan dan sebagainya. Akan tetapi, semua ini mesti diniatkan ikhlas kerana Allah.

Oleh sebab itu, janganlah kita menjadi seorang yang kedekut kerana hakikatnya sifat kedekut itu akan menjadikan wajah kita suram dan tidak cantik!

-Artikel ini merupakan siaran dalam Majalah Dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia-

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *