KLUANG – Cadangan Majlis Belia Malaysia (MBM) supaya diperkenalkan satu subjek khusus bagi mengenali agama lain, selain agama Islam di sekolah dan pusat pengajian tinggi (IPT) tidak dipersetujui oleh Kementerian Pendidikan.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, bagaimanapun beliau konsisten dengan cadangan kementerian sebelum ini yang mahukan setiap sekolah dan universiti lebih kerap mengadakan program rentas budaya.
Katanya, berkongsi kebudayaan sesuatu kaum adalah lebih sesuai berbanding mempelajari agama lain, ini kerana dibimbangi akan menimbulkan lebih banyak kesan yang negatif berbanding yang positif.
“Baru-baru ini sewaktu saya ke Pulau Pinang, saya telah lihat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ada kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan di Johor kita ada Sekolah Islam Hidayah (SIH) yang aktif buat program bersama sekolah-sekolah vernakular lain.
“Jadi, kita galakkan sekolah berlainan aliran ini untuk buat program silang budaya dan biasanya silang budaya ini lebih kepada perayaan, pakaian dan kalau boleh kita hendak pergi lebih jauh daripada itu untuk saling memahami budaya masing-masing,” katanya, hari ini. – Bernama
KOMEN