Home » Langit Terbuka » Cacing dalam tin sardin, KKM arah tarik balik produk

Cacing dalam tin sardin, KKM arah tarik balik produk

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan dua produk sardin dalam tin dari China, Canned Sardines in Tomato Sauce jenama TL Tan Lung dan Sardines in Tomato Sauce jenama TLC, ditarik balik dari pasaran kerana mengandungi cacing.

Ketua  Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat  pengimport produk itu yang diarah menarik balik produk setelah didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Kementerian Kesihatan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sentiasa menjalankan pemantauan ke atas produk makanan import termasuk produk ikan sardin dan ikan mackerel dalam tin.

“Dalam isu ini, hasil analisis mendapati Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari  China tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana mengandungi bendasing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp,” katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Beliau berkata kementerian mengambil  maklum laporan yang tular di laman media sosial  berkaitan cacing mati yang ditemui dalam produk ikan sardin dalam tin dari negara China.

“Laporan tersebut menyatakan bahawa pihak Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Indonesia mengarahkan tiga pengimport  produk ikan sardin dalam tin untuk menarik balik produknya dari pasaran setelah pemeriksaan menunjukkan cacing mati ditemui dalam produk mereka yang diimport dari negara China,” katanya.

Beliau berkata KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk ikan sardin dan mackerel dalam tin yang diimport di semua pintu masuk negara dan di pasaran.

“Sekiranya  didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan mengenai isu keselamatan makanan, mereka boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang https://moh.spab.gov.my  atau  www.facebook.com/bkkmhq.– Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *