KUALA LUMPUR – Bulan Dakwah 2.0 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan ditingkatkan kualiti penyampaian dan pengisian program di dalamnya.
Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nasrudin Hassan berkata, ia tidak akan sekadar bersifat touch & go atau hit and run.
“Ia mestilah ada susulan ke atas program dan kepada golongan sasar.
“Dakwah mesti bukan program kecil kecilan, tetapi mesti diarusperdanakan,”tegasnya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Bulan Dakwah 2.0 anjuran YADIM di TV Al Hijrah di sini pada 8 Oktober.
Pelancaran program disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Senator Haji Idris Haji Ahmad. Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh serta pengurusan kanan badan dakwah ini dan TV Al Hijrah.
Dalam pada itu, menyentuh lagi tentang penambahbaikan, Ustaz Nasrudin juga berkata, jumlah golongan yang akan menerima manfaat daripada penganjuran Bulan Dakwah 2.0 juga disasarkan kepada lebih dua juta orang.
Untuk mencapai sasaran sasaran ini ujarnya, YADIM akan bekerjasama dengan tokoh tokoh agama dan dakwah di seluruh negara selain memastikan program program dilaksanakan di seluruh negara.
Bulan Dakwah 2.0 mensasarkan sebanyak 3,000 program di seluruh negara sepanjang 85 hari penganjurannya.
Edisi sebelum ini pada tahun lalu berjaya mencapai sasaran penganjuran 2,000 program.
Program yang bertujuan menjadikan dakwah sebagai budaya masyarakat untuk menyeru ke arah kebaikan dan menonjolkan keindahan Islam ini diadakan dengan kerjasama agensi agama Islam persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan bukan kerajaan serta rakan rakan media.
KOMEN