Home » Resensi » Buku Panduan Urusan Muamalah

Buku Panduan Urusan Muamalah

Judul Buku: Celik Muamalah: Hukum\Harta/Riba\Hutang\Pengurusan
Kewangan\Pelaburan\Insurans\Wakaf
Penulis: Abdul Aziz Ismail
Penerbit: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
Tahun: 2018
Muka surat: 308 halaman
No. ISBN: 978-967- 5128-46- 2

Pengulas SHAHAROM TM SULAIMAN

 

Pelbagai persoalan berkaitan urusan muamalah sentiasa timbul di tengah-tengah masyarakat Muslim bersesuaian dengan perkembangan yang berlaku dalam kehidupan manusia. Akibat daripada perubahan zaman, kecanggihan kehidupan yang diwarnai oleh teknologi maklumat, dinamisme dan ilmu pengetahuan menuntut cabaran baharu dalam permasalahan urusan bermuamalah yang memerlukan ‘jawapan-jawapan baharu’ berdasarkan prinsip-prinsip keadilan dalam Islam dan hukum-hakam seputar urusan muamalah.

Dalam konteks permasalahan hari ini, muamalah secara mudah dapat difahami sebagai hukum-hukum syarak yang disusun bagi mengatur urusan manusia dalam perkara yang berkaitan dengan harta. Manakala fiqah muamalat dapat diertikan sebagai mengetahui dengan mendalam hukum-hukum mengenai urusan pertukaran harta, tujuan di sebalik penetapan hukum, sebab, sumber dan hubung kaitnya dengan objektif syariat Islam secara umum. Ini bagi memastikan hukum yang diputuskan dapat disesuaikan dengan permasalahan baharu yang timbul. Demikianlah Islam memberi ruang penyelesaian yang praktikal dan memuaskan semua umat manusia dalam pelbagai permasalahan semasa yang wujud. Namun begitu, ia seharusnya diiringi dengan pemahaman yang komprehensif mengenai ilmu berkaitan pengurusan muamalah.

Dalam konteks inilah, kemunculan buku Celik Muamalah ini amat tepat pada masanya dan amat dialu-alukan dalam memberi kefahaman yang komprehensif kepada masyarakat Muslim. Kandungan buku ini mencakupi hukum-hukum syarak yang disusun bagi mengatur dan memudahkan urusan sesama manusia di dunia sama ada yang berkaitan dengan harta, pengurusan kewangan, hutang, pelaburan, jual beli, takaful, wakaf, dan lain-lain yang berkaitan. Penjelasan dan penghuraian diperkukuhkan dengan nas al-Quran dan Hadis dan sumber-sumber hukum yang lain bagi fiqah muamalat.

Perbincangan dalam buku ini amat menarik dan mudah difahami dengan menampilkan permasalahan yang benar wujud dalam masyarakat. Buku ini dapat berperanan sebagai buku ‘rujukan segera’ atau quick reference yang harus dimiliki. Falsafah yang tersirat dalam buku ini adalah ianya memahamkan kita akan disiplin Islam dalam pengurusan ekonomi dan kewangan. Salah satu aspek menarik yang dibincang dalam buku ini ialah aspek muamalat pergaulan yang sering dilupakan dalam ekonomi moden. Muamalat pergaulan adalah kelakuan dan tingkahlaku yang terhasil daripada lidah dan anggota badan seperti bercakap benar, jujur dalam perkataan dan perbuatan, memberi keterangan dengan sebaiknya, menjauhi sikap bohong, persaksian palsu dan bersumpah dengan manusia suatu perbuatan yang senang dilakukan tetapi sukar dihayati.

Muamalat pergaulan berbeza dengan muamalat harta dimana harta menjadi fokus dan tujuan utama. Sementara dalam muamalat pergaulan, perbincangan tertumpu pada perilaku seperti bercakap benar, menepati janji dan berakhlak dengan akhlak yang mulia. Dengan kata lain, muamalat pergaulan adalah teras bagi muamalat harta. Ia terbina atas asas akidah dan akhlak. Bukankah Rasulullah SAW amat menganjurkan kita supaya bertimbang rasa dalam menjalankan aktiviti jual beli dan menuntut hutang. Baginda pernah bersabda: “Allah mengasihi seorang lelaki yang bertolak ansur bila menjual, bila membeli dan bila menuntut (hutangnya).” (HR Bukhari dari Jabir)

Dalam konteks makroekonomi, buku ini turut membincangkan beberapa aspek yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan kewangan Islam yang halal dan patuh syariah termasuklah pengurusan pembangunan wakaf dan impaknya kepada pembangunan ummah. Turut dibincangkan ialah amalan-amalan pelaburan di Malaysia dan bagaimana perspektif Islam mendekati amalan pelaburan tersebut. Dengan kata lain, buku ini memberi pengetahuan dan maklumat secara perbandingan dengan pendekatan Islam dan kovensional. Dan inilah yang menjadikan buku ini unik dan harus dibaca. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Selangor sediakan modul khas pulihkan ahli GISB

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini dalam fasa memulihkan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *