BANGI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangkap lapan suspek, termasuk seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terbabit dalam kumpulan pengganas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, semua suspek berkenaan ditahan oleh Bahagian Menentang Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam operasi antara 30 Oktober hingga 12 November lalu di Putrajaya dan Sabah.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pertama dibuat pada 30 Oktober lalu di Putrajaya, membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 38 tahun.
Katanya, suspek yang bekerja sebagai ejen menjual jongkong emas itu terlibat dalam menyalurkan dana kepada Akel Zainal – rakyat Malaysia yang menyertai militan pengganas Daesh di Syria – pada tahun 2017 bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.
“Tangkapan kedua dibuat pada 1 November di Tenom, Sabah melibatkan tiga suspek warganegara Filipina berusia antara 27 hingga 51 tahun yang bekerja sebagai buruh.
“Kesemua suspek menganggotai kumpulan Abu Sayaf Group (ASG) yang terlibat dalam kegiatan ‘Kidnapping For Ransom (KFR)’ di selatan Filipina dan Sabah. Salah seorang suspek mempunyai kemahiran dalam menghasilkan senjata api bagi kegunaan kumpulan ASG,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata, dua lagi suspek wargangera Filipina berusia 35 dan 46 tahun ditangkap pada 8 November di Ranau, Sabah.
Beliau berkata, suspek masing-masing yang bekerja sebagai buruh dan juruteknik itu adalah anggota militan ASG, dan terlibat dalam kegiatan KFR di selatan Filipina serta Sabah.
“Suspek berusia 35 tahun berperanan merekrut kanak-kanak untuk menyertai kumpulan ASG dan dijadikan perisai manusia semasa bertempur dengan tentera Filipina di Basilan, selatan Filipina.
“Dia juga terlibat dalam memenggal kepada tebusan ASG. Semasa ditangkap, kedua-dua suspek sedang merancang untuk melarikan diri ke selatan Filipinan bagi mengelak ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, operasi pada 10 November menahan seorang komander kumpulan ASG berusia 30 tahun yang juga orang kanan kepada Furuji Indama, pemimpin kanan militan Abu Sayyaf.
“Tangkapan kelima pada 12 November di Tenom, Sabah melibatkan seorang suspek warganegara Filipina, berusia 60 tahun dan bekerja sebagai peniaga pasar malam.
“Suspek terlibat dalam melindungi salah seorang suspek yang ditangkap pada 8 November 2018 semasa cuba melarikan diri daripada buruan pihak polis,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata, semua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – Ismaweb
KOMEN