BANGI: Bukit Aman mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam memantau media sosial yang dibimbangi mula menjadi medium mempromosi pemikiran radikal dan ekstremisme.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pemantauan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta Cawangan Khas (SB).
“Kedua, kita juga bekerjasama dengan JAKIM dan ketiga, kita bekerjasama dengan SKMM untuk mendapatkan bantuan bagi menurunkan, menyekat atau mendapatkan maklumat lanjut berhubung sesuatu ‘posting’ (hantaran di media sosial). Kita memang ada kerjasama yang rapat.
“Jika dahulu, cara merekrut ahli kumpulan militan, format dan caranya lain. Tetapi, kini semuanya menerusi media sosial. Oleh itu, kita fokus kepada aspek itu dengan kerjasama pihak berkaitan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Awam ke-20 Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Ditanya mengenai aplikasi Telegram yang banyak disalah guna untuk perbuatan jenayah termasuk menyebarkan fahaman radikal serta ekstremisme, Ayob Khan berkata, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak SKMM berhubung isu itu.
“Kalau kita sebagai orang awam, kita boleh tahu bahawa Telegram ini digunakan untuk pelbagai aktiviti negatif termasuklah judi dalam talian, pornografi kanak-kanak dan penipuan.
“Tetapi, Telegram ini isunya adalah kita sukar untuk kawal kerana ia beroperasi dari negara luar dan tidak terikat dengan kita. Oleh sebab itu, kerajaan melesenkan platform media sosial untuk memudahkan pemantauan,” katanya.
Untuk rekod, kerajaan Perancis pada akhir bulan lalu melarang pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Telegram, Pavel Durov, meninggalkan negara itu selepas empat hari ditahan susulan siasatan pelanggaran berkaitan aplikasi dalam talian miliknya.
Durov, 39, didakwa atas beberapa pertuduhan kerana kegagalan membendung kandungan melampau dan haram dalam aplikasi pemesejan popular itu, berikutan perbicaraan di Paris.
Antara tuduhan terhadapnya ialah dakwaan jenayah berkaitan kumpulan penjenayah terancang termasuk ‘bersubahat dengan pentadbiran platform dalam talian untuk membolehkan transaksi haram’.
Durov juga didakwa kerana enggan berkongsi dokumen yang diminta pihak berkuasa, menyebar imej pornografi kanak-kanak dalam kumpulan tertentu, pengedaran dadah, penipuan dan pengubahan wang haram
Durov, yang dilahirkan di Russia ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget di luar Paris, pada 24 Ogos lalu untuk siasatan.
KOMEN