PUTRAJAYA 9 Okt. – Masyarakat negara ini diminta tidak meletakkan persepsi rasuah kepada semua penjawat awam kerana hanya segelintir daripada mereka sahaja yang terlibat dengan gejala tersebut.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, orang ramai juga diminta tidak melihat tangkapan beberapa kes rasuah sebelum ini sebagai gambaran sebenar keseluruhan penjawat awam di negara ini.
Katanya, penjawat awam secara keseluruhannya berintegriti dan kerajaan juga sentiasa mengadakan program untuk meningkatkan tahap kesedaran dan integriti di peringkat pegawai kanan dan bawahan.
“Pegawai dan kakitangan awam akan diberikan kesedaran dan input berkaitan rasuah sejak mula dilantik dalam perkhidmatan awam malah, usaha memerangi rasuah diteruskan sepanjang dalam perkhidmatan.
“Pihak pengurusan atasan termasuk ketua setiausaha di setiap kementerian juga sentiasa memastikan pegawai dan kakitangan mereka daripada gred bawah ke atas diberikan kesedaran berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Pendidikan Generasi Muda, Teknik-Teknik Menjawab Soalan Peperiksaan dan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Merdeka Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Negara Ke-59 di sini hari ini.
Yang hadir sama, Yang Dipertua Puspanita, Puan Seri Rohani Abdullah.
Menurut Ali, beliau berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana berjaya mengenal pasti dan menahan mereka yang terlibat dengan aktiviti rasuah baru-baru ini.
Terdahulu, Ali turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 untuk 25 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan bagi membeli peralatan sukan bersempena dengan sambutan Hari Sukan Negara.
KOMEN