LONDON 15 Nov. – Tindakan berani seorang penduduk Britain mempertahankan umat Islam daripada dikaitkan dengan tragedi berdarah di Paris, menerusi satu kenyataan terbuka mendapat perhatian dan pujian orang ramai.
Menurut laporan portal Mirror, Leigh Matthews berasal dari Cardiff, mengeluarkan kenyataan terbuka dalam laman sosial Facebook dengan menggesa orang ramai agar tidak menyalahkan umat Islam susulan insiden serangan pengganas di Perancis.
Dalam kenyataannya itu, Matthews berkata, pihak yang terlibat dalam serangan di Paris bukan orang Islam tetapi kumpulan pelampau yang menggunakan agama sebagai alasan untuk menghalalkan tindakan pengecut mereka.
“Seluruh dunia perlu bersatu sebagai satu keluarga.
“Kejadian yang berlaku semalam sepatutnya merapatkan jurang antara kita,” katanya.
Kenyataan Matthews itu dikongsi oleh pengguna Facebook lebih 25,000 kali dan angka tersebut terus meningkat.
Malah keberanian dia mempertahankan Islam mendapat pujian pengguna lain seperti Han O’Connor yang bersetuju dengan pendapat Matthews.
“Sentimen yang sangat indah dan baik diluahkan oleh Leigh,” katanya.
Sumber daripada www.utusan.com.my
KOMEN