Home » Langit Terbuka » ‘Bukan salah ibu…’

‘Bukan salah ibu…’

KAKAK mangsa, Nur Auliya Hanan mencium tangan pengasuh yang datang menjenguk keluarganya di rumah mereka di Taman Sunggala Hartamas, Port Dickson, Negeri Sembilan, semalam.  - Foto : Utusan

TELOK KEMANG 15 Mac – “Bukan salah ibu, kakak tak marah ibu.” Demikian diucapkan kakak kepada Allahyarham Nur Awfa Humaisha’ Muhammad Ali Riduan, 2, yang me­ninggal dunia akibat ditinggalkan tanpa disedari ibunya di dalam kereta di Kolej Vokasional Port Dickson di sini semalam.

Walaupun masih kecil, Nur Auliya Hanan, 5, yang ditemui di rumah keluarganya di Taman Sunggala Hartamas di sini hari ini seolah-olah memahami kesedihan ditanggung ibu­nya, Hasmah Masroh, 32.

Bapa kanak-kanak itu, Muhammad Ali Riduan berkata, anak sulungnya itu juga sudah boleh menerima ketiadaan adiknya dan dia juga cuba memujuk ibunya yang masih trauma dengan kejadian malang itu.

Bercerita lanjut, ujarnya, pada malam sebelum kejadian, dua beradik itu sempat bermain selama kira-kira tiga jam sebelum tidur.

“Mereka seronok bermain da­ri pukul 9.30 malam hingga 12 tengah malam. Mereka seakan-akan bermain buat kali terakhir pada malam itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, Nur Awfa Humaisha’ ditemukan mati selepas dipercayai ditinggalkan kira-kira empat jam di dalam kereta Proton Saga oleh ibunya di tempat letak kenderaan di Kolej Vokasional Port Dickson.

Wanita itu yang merupakan guru disiplin di kolej tersebut hanya menyedari anaknya masih berada di dalam kereta kira-kira pukul 1 petang. Mang­sa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Klinik Kesihatan Port Dickson, namun disahkan me­ninggal dunia.

Menurut Muhammad Ali, dia menyedari perubahan sikap arwah apabila manja dengan ahli keluarga dan kenalan rapat mereka sejak sebulan lalu.

“Sikap manjanya dengan semua orang sangat ketara. Saya sendiri pernah terdetik dalam hati dan tertanya kenapa arwah begitu manja. Mungkin itulah kenangan manis yang ditinggalkannya kepada kami sekeluarga,” katanya.

Muhammad Ali yang bertugas di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan di Seremban juga meminta orang ramai memahami kesedihan ditanggung keluarganya dan tidak menyalahkan isterinya menerusi media sosial.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, Hasmah hadir bagi memberi keterangan berhubung kejadian itu kepada pihak polis hari ini.

Menurutnya, wanita itu datang ke Ibu pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini ditemani suaminya kira-kira pukul 9.45 pagi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (5) (b) Akta Kanak-Kanak 2001. Kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya apabila lengkap dan jika didapati wujud unsur kecuaian, ibu mangsa boleh didakwa,” katanya hari ini. – UTUSAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *