Home » Langit Terbuka » Bukan saja Neelofa, pengunjung juga perlu bertaubat – Mufti Perak

Bukan saja Neelofa, pengunjung juga perlu bertaubat – Mufti Perak

Tan Sri Harussani Zakaria

PETALING JAYA: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan selebriti, Neelofa supaya bertaubat susulan tindakannya menganjurkan majlis pelancaran tudung di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara pada Isnin.

Malah Harussani turut menasihatkan semua pengunjung beragama Islam yang hadir pada majlis itu untuk sama-sama bertaubat kerana mendekati tempat maksiat.

“Kalau dah tempat tu ada tari-menari dan kelab malam, selalunya ia adalah tempat maksiat. Maka, ia tidak seharusnya dikunjungi oleh sesiapa pun yang beragama Islam.

“Walau apapun tujuannya sama ada ia untuk berniaga atau mempromosikan barangan… tetap tidak boleh,” katanya kepada mStar Online pada Selasa.

Harussani berpandangan bahawa tindakan umat Islam ‘menghidupkan’ kelab malam dengan penganjuran majlis sebagai bersubahat dengan tempat maksiat.

“Haram hukumnya. Dia bersubahatlah kerana ‘menghidupkan’ kelab malam tu. Berniaga tudung di tempat yang haram, haramlah jadinya,” katanya sambil menegaskan bahawa kelab malam lazimnya merupakan tempat yang tidak baik dan mendorong kepada perbuatan maksiat.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya semua umat Islam perlu berhati-hati dalam mencari sumber pendapatan yang halal.

“Saya nasihatkan supaya kita berhati-hati. Biar kita mencari nafkah secara halal, janganlah kita melibatkan dengan perkara-perkara yang melanggar syarak.

“Wajib dia (Neelofa) bertaubat. Semua, siapa saja yang berada pada majlis itu di kelab malam,” kata Harussani.

Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya, Be Lofa di sebuah kelab malam terkemuka di ibu negara.

Malahan, wanita bertudung yang menari dengan aksi menghairahkan pada majlis pelancaran koleksi hijab terbaharu, Be Lofa turut dikecam hebat.

Menerusi sidang media pada pelancaran tersebut yang berlangsung pada Isnin malam, Neelofa tidak peduli kritikan netizen mengenai pemilihan lokasi pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29.

Kata pengacara program Meletop itu, dia tahu apa yang dilakukannya dan lokasi yang dipilih sesuai dengan tema.

Tambahnya, dia perlu keluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema jika memilih tempat lain.

Terdahulu, mStar Online melaporkan, langkah selebriti Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya itu di kelab malam, tidak menyalahi peraturan Islam jika tujuannya untuk berdakwah namun ia menjadi dosa jika mengundang fitnah.

Menurut pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad, sesuatu dakwah itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun ia di tempat seperti kelab malam.

Namun ujarnya, sesebuah majlis yang baik itu menjadi haram hukumnya jika ia disertakan dengan tari-menari kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam. – mSTAR

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *