Home » Persuasif »  ‘Bukan Cinta Malaikat’ gagal angkat imej wanita Islam

 ‘Bukan Cinta Malaikat’ gagal angkat imej wanita Islam

Bukan Cinta Malaikat gagal memberikan impak dan pembaharuan dalam pemaparan watak wanita Islam. Foto : https://moviegoersmagazine.com/

Filem: Bukan Cinta Malaikat

Pengarah: Aziz M. Osman

Pelakon: Nora Danish, Fachri Albar, Ashraf Muslim, Donita, Dewi Irawan, Dynas Mokhtar dan Afida Es.

Genre: Drama

Durasi: 105 minit

Pengedar: Empire Film Solution

Tarikh Tayangan: 25 Januari 2018

SEBAGAI salah seorang daripada mereka yang membesar dengan filem-filem arahan pengarah prolifik, Aziz M. Osman, penulis memang akui Aziz merupakan seorang pengarah yang berada dalam liganya tersendiri.

Bagi penulis, Aziz kreatif dalam membentuk acuannya sebagai seorang pencerita dan pengarah sehingga beliau mempunyai cop mohornya sendiri dalam setiap filem arahannya.

Antara karya pengarah bertubuh kecil molek ini yang sehingga ke hari ini menjadi kegemaran penulis (kerana faktor tertentu) termasuklah Trauma (2004), Puteri Impian (1997), Femina (1994), XX Ray (1992) dan Fenomena (1990).

Sesuatu yang cukup menarik tentang karya Aziz apabila bagaimana sebagai pencerita dan pengarah, Aziz mengenengahkan watak wanita di dalam setiap filemnya dalam rentak yang berbeza.

Dalam erti kata lain, Aziz cuba meletakkan wanita pada tahap yang berbeza mengikut cerita dan watak yang ditampilkan dalam filem arahan dan tulisannya.

Siapa dapat lupa bagaimana impak kemunculan watak Isabella lakonan Ramona Rahman dalam filem Fenomena. Begitu juga dengan kehebatan lakonan Erma Fatima dan Susan Lankester menerusi Femina serta Nasha Aziz (Trauma).

Malah, watak Nora Mat Jidin atau Puteri Nora dan Nancy yang masing-masing dilakonkan oleh Amy Mastura dan Datin Nor Aliah Lee Abdullah dalam Puteri Impian dan Puteri Impian 2 juga antara watak yang diingati sehingga ke hari ini.

Justeru, apabila filem baharu arahan Aziz berjudul Bukan Cinta Malaikat yang memulakan tayangannya di pawagam tempatan bermula 25 Januari lalu, penulis mengharapkan Aziz mengembalikan magisnya di layar perak.

Secara teknikalnya, Bukan Cinta Malaikat terlebih dahulu ditayangkan di Indonesia sekitar Julai lalu dan hanya selepas enam bulan, barulah penonton di Malaysia dapat menyaksikannya.

Apabila diuar-uarkan filem baharunya kali ini diangkat daripada kisah benarnya sendiri, penulis memang meletakkan harapan untuk melihat Aziz memberikan sesuatu yang dapat meninggalkan impak luar biasa kali ini.

Ditambah pula menonton sedutan filemnya dan juga poster yang terpampang di pawagam, sekali imbas, fikiran akan memberi gambaran bahawa Bukan Cinta Malaikat adalah sebuah filem Islamik.

Sayugia diingatkan, Bukan Cinta Malaikat bukan filem Islamik kerana pada pandangan penulis selepas menontonnya, ia hanyalah sebuah filem drama biasa sahaja. Jika diukur kepada nilai sinematik Bukan Cinta Malaikat, ia tidak tergolong dalam kategori berkenaan kerana banyak yang boleh dipersoalkan dan didebatkan.

Sementelah, Bukan Cinta Malaikat juga tidak dipromosikan sebagai sebuah filem cinta Islamik dan seangkatannya. Jadi, jangan ada pula yang kecewa jika Bukan Cinta Malaikat tidak seperti yang diharapkan.

Penulis tidak menafikan cerita asal Aziz ini sebenarnya memang menarik untuk dikupas dan mampu dijadikan sebagai bahan penulisan akademik terutama bagi mengupas tentang permasalahan wanita Islam khususnya.

Akan tetapi, impak dan momentum Bukan Cinta Malaikat tidak terhasil seperti mana yang boleh dilakukan terutamanya untuk mengangkat imej wanita Islam di kaca mata kaum sejenisnya dan juga kaum lelaki sendiri.

Dalam dunia serba moden hari ini dan apatah lagi, wanita Islam sendiri berhadapan dengan pelbagai cabaran, Aziz sepatutnya boleh memberikan satu persepsi baharu jika watak Dewi (lakonan Nora Danish) itu diberikan penghormatan sewajarnya.

Penulis faham ia adalah daripada sebuah kisah benar tetapi tidak salah untuk memberikan suntikan yang lebih segar dan positif pada watak Dewi. Apatah lagi, titik tumpu Bukan Cinta Malaikat adalah kepada

Disebabkan itu, penulis melihat watak Dewi adalah watak wanita Islam yang lemah, rapuh, tidak memiliki pendirian tetap dan masih lagi berada di takuk lama.

Malah, kalau dilihat secara kasar juga, Dewi adalah seorang wanita yang dalam bahasa kasarnya, wanita gatal dan seolah-olah hilang pertimbangan serta rambang mata antara dua lelaki kacak, Adam (Ashraf Muslim) dan Reyhan (Fachri Albar).

Penulis juga tidak melihat Dewi sebagai seorang wanita yang menjaga keperibadiannya dan moral sebagai wanita Islam dalam erti kata sebenar. Sebagai contoh, adakah molek seorang anak dara bertemu dengan lelaki di pantai pada waktu malam dan tidak kelihatan seorang pun manusia di sekitar mereka?

Bukankah itu hanya akan mengundang fitnah dan kata-kata orang sekeliling. Dari satu aspek lain pula, hendak dikatakan, Dewi adalah seorang yang baru berhijrah ke arah lebih baik (baru memakai tudung dan menutup aurat sepenuhnya misalnya) tidak juga.

Kenyataan penulis itu dibuat berdasarkan pada babak imbas semula sewaktu Adam dan Dewi ditangkap oleh kakak Adam lakonan Dynas Mokhtar yang berkemungkinan besar mahu kahwin lari untuk kali pertamanya.

Daripada babak itu sudah ditonjolkan Dewi memakai tudung dan berpakaian menutup aurat. Mungkin ada yang mempertikaikan rasionalnya penulis memberikan hujah ini tetapi semuanya diambil daripada konteks yang lebih luas dalam menterjemahkan watak Dewi itu sendiri.

Jadi, daripada beberapa permasalahan ini jelas menunjukkan bahawa watak Dewi itu adalah kaum lemah yang ditonjolkan bahawa mereka hanya layak menjadi mangsa permainan lelaki.

Itu cukup jelas sewaktu Adam memujuk Dewi untuk menerimanya semula dan mengajaknya berkahwin, Dewi tidak menunggu lama untuk bersetuju walaupun hatinya remuk dikecewakan sebelum itu.

Lebih malang, apabila Dewi juga hanya menerima takdirnya begitu sahaja sewaktu dipertemukan dengan seorang wakil pejabat agama di lobi hotel (tidak logik sebenarnya) yang memberitahu perkahwinannya dengan Adam tidak sah sehingga dia sendiri tersiksa.

Bukankah lebih logik dan Dewi digambarkan sebagai yang kuat dan berkeyakinan diri dengan membawa dirinya dan Adam ke pejabat agama untuk mendapatkan pengesahan sebenar.

Itu hanya akan terjadi jika benar dia mencintai Adam dan daripada pengamatan penulis, itu membuktikan bahawa sebenarnya Dewi dalam fikirannya ketika konflik itu berlaku juga sedang memikirkan tentang Reyhan.

Dewi juga lemah dalam membuat keputusan dan tidak memiliki prinsip hidup tegas walaupun sudah bersumpah selepas tragedi yang berlaku sehingga begitu naif dan mudah percaya dengan pujuk rayu kakak Adam.

Lalu, sumpah Dewi itu telah memakan dirinya sendiri dan ini membuktikan bahawa wanita menjadi mangsa kepada masalah yang mereka ciptakan sendiri. Mengapa wanita harus berterusan digambarkan sebagai lemah dan menjadi mangsa keadaan yang tidak pernah berkesudahan?

Bukan hanya Dewi, malah watak Aliyah (Donita) juga digambarkan sebagai wanita Islam yang tidak berfikir secara rasional dan berkahwin dengan lelaki lain semata-mata tidak mendapat lelaki yang dicintainya iaitu Reyhan.

Akhirnya, Aliyah menjadi mangsa penderaaan fizikal lelaki yang dikahwininya bukan kerana cinta dalam erti kata sebenar tetapi adalah kerana ikut kata hati dek kekecewaan.

Sehubungan itu, Bukan Cinta Malaikat gagal memberikan impak dan pembaharuan dalam pemaparan watak wanita Islam khususnya meskipun penulis akui ceritanya memang sesuatu yang hebat jika penghasilannya dilakukan dengan skala yang lebih besar.

Skala besar itu bukanlah dengan bajet yang tinggi tetapi kreativiti penulisan dan lakon layarnya digandakan untuk mencipta sebuah visual yang dapat memberikan penghormatan sewajarnya untuk filem seperti Bukan Cinta Malaikat.

Penulis tidak pasti jika keseluruhan cerita Bukan Cinta Malaikat adalah daripada pengalaman Aziz tetapi tidak salah jika hanya mengambil intipatinya sahaja dan selebihnya menggunakan lesen kreatif untuk mencipta magis daripadanya.- MSTAR

***Penulis ialah pemenang Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem, Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 dan bekas wartawan hiburan. Penulis juga graduan Sarjana Komunikasi (Pengajian Skrin), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Ulasan ini ditulis berdasarkan pandangan peribadi penulis tanpa dipengaruhi sesiapa.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *