PUTRAJAYA – Kerajaan tidak sesekali mahu membubarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) seperti mana yang hangat diperkatakan sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei lalu.
Sebaliknya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, Jakim akan diberi tanggungjawab lebih besar untuk mengepalai enam agensi agama lain di negara ini.
“Kita telah menerima arahan daripada Pejabat Perdana Menteri tentang penstrukturan semula di mana Jakim telah diberi amanah dan tugas itu.
“Ini sekaligus menjawab soalan orang Jakim ini nak dihapuskan ker…Jakim ni nak buat apa…malah Jakim diberikan amanah lebih besar untuk menjaga enam agensi yang digabungkan di bawah pentadbiran Jakim.
“Agensi yang dimaksudkan itu ialah Jauhar, Ikim, TV Hijrah, Yadim, Yapiem dan Yayasan Waqaf Malaysia
“Semua ini digabungkan di bawah satu pentadbiran diselaras dan dimudahkan oleh Jakim yang tugasnya sekarang semakin mencabar,” katanya berucap pada Majlis Perjumpaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bersama Warga Agensi Agama di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.
Mujahid juga berkata, enam agensi agama lain akan terus dikawal selia secara langsung oleh pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Selain itu terdapat agensi lain seperti Jawi, JKSM, Jabatan Pendakwaan Syariah, Tabung Haji, Mawip dan Pejabat Mufti Wilayah yang dikawal selia terus oleh pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
KOMEN