SHAH ALAM – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran kepada sekolah rendah dan menengah untuk dibuka secara berperingkat mulai Julai untuk semua tahap murid susulan kebenaran beroperasi sepenuhnya taska.
Naib Presiden ABIM (Pendidikan, Kebudayaan dan Kenegaraan), Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim berkata, keadaan itu sudah tentu memerlukan perubahan paradigma dan kebiasaan baharu dalam menguruskan hal ehwal persekolahan seperti penjadualan harian, tempoh masa persekolahan serta amalan pedagogi dan pentaksiran yang berubah sepenuhnya.
Menurutnya, keperluan untuk menggariskan langkah-langkah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan jelas seperti pemeriksaan suhu, pendaftaran rekod murid dan guru secara harian wajib dipatuhi dan pergerakan murid dalam kawasan sekolah.
“Dalam pada itu, sistem penggiliran hari bersekolah murid serta waktu persekolahan yang pendek perlu turut sama dipertimbangkan, termasuklah menetapkan bilangan tertentu murid dalam satu-satu bilik darjah.
“Walau bagaimanapun, perkara paling utama adalah sebarang pembukaan sesi sekolah harus mendapat maklum balas dan pilihan daripada ibu bapa.
“ABIM melihat kebenaran ini sebagai wajar bagi memudahkan sebahagian ibu bapa yang kembali bekerja apabila anak-anak bersekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam laporan Sinar Harian baru baru ini, kerajaan kini membenarkan baki lebih 6,000 taska kembali beroperasi kembali berbanding sebelumnya hanya 304 taska yang dibenarkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bercakap pada sidang akhbar harian mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkata, taman didikan kanak-kanak (tadika), taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan prasekolah di bawah kelolaan pelbagai kementerian lain pula dicadangkan dibuka Julai ini.
Selain itu, Radin Muhd Imaduddin menjelaskan, inisiatif itu juga akan membuka ruang buat pengusaha bas sekolah dan aktiviti ekonomi berkaitan untuk turut kembali menjana pendapatan yang sekian lama tertangguh.
“Sebagaimana bidang lain memerlukan SOP khas bagi keperluan keselamatan, aktiviti ekonomi berkaitan pengoperasian semula sekolah seperti perkhidmatan bas sekolah dan sebagainya juga perlu ditekankan amalan SOP berkaitan normal baharu,” katanya. – Sinar Harian
KOMEN