KUALA LUMPUR – Persepsi masyarakat dunia terhadap umat Islam dengan isu Islamfobia dan keganasan tidak akan berakhir sekiranya penganutnya sendiri gagal membanteras budaya takfiri atau mengkufur orang lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, umat Islam perlu melakukan perubahan dari dalam masyarakat untuk mengatasi pandangan negatif itu.
“Kalau ada Islamfobia dan pandangan negatif terhadap umat Islam, kita kena lakukan perubahan
“Isu berkaitan dengan ekstremism, takfiri atau mengkufurkan orang lain yang tidak sealiran dengan kita, ini adalah contoh yang berbahaya. Sekiranya perkara ini tidak diatasi, maka stigma Islamfobia akan kekal.
“Bila kita ada ekstremism itu, maka akan timbul Islamfobia, tak salah orang nak pandangan negatif pada Islam sebab ada elemen ekstremism.
“Kita wajib untuk mengatasi mana-mana pihak yang cuba untuk mengangkat isu ekstremism dan takfiri ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan membakar al-Quran dan kebencian terhadap umat Islam sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab serta membawa mesej berbahaya kepada kemanusiaan.
Anwar semasa semasa berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan perkauman bentuk baharu dikenali sebagai xenofobia, iaitu pemprofilan dan stereotaip terhadap umat Islam.
Perdana Menteri berkata, tindakan membakar al-Quran adalah Islamofobia yang jelas menimbulkan kebencian.
Dalam pada itu, Mohd Naim menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memperkenalkan pendekatan wasatiyah atau moderate dalam membina masyarakat Malaysia Madani.
“Jakim akan memperhebatkan semula pendekatan wasatiyah untuk mengajak masyarakat ke arah itu.
“Kita akan masukkan Islam Wasatiyah dalam elemen Malaysia Madani, supaya masyarakat yang dibina nanti adalah mereka yang berfikiran tidak ekstrem kanan dan ekstrem kiri, tetapi moderate, pertengahan, tidak terlampau suku.
“Dengan harapan bila mana kita dapat bawa masyarakat ke arah tengah, tanggapan tentang Islam itu sebagai satu agama yang menganjurkan ekstremism, takfiri (mengkafirkan itu) akan dapat kita ubah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
KOMEN