Home » Persuasif » Budaya ravers, hipsters petanda hilang jati diri

Budaya ravers, hipsters petanda hilang jati diri

Oleh AMIRUL EQHWAN RAHIM

Bangsa Melayu cukup terkenal dengan budaya bersopan santun, lemah lembut serta tinggi budi bahasa. Namun, kesemua sikap ini seakan-akan sudah terhakis dalam diri bangsa Melayu terutama sekali anak Melayu generasi Y.

Baru-baru ini, media sosial Facebook dihangatkan dengan sebuah acara yang berlangsung di KLCC, iaitu acara ‘Ravers melawan Hipster’. Majoriti daripada mereka yang menyertai acara ini merupakan anak Melayu yang berumur awal sehinggalah ke pertengahan belasan tahun.

Apa itu ‘ravers’, dan apa itu ‘hipster’?

‘Ravers’ berasal daripada perkataan ‘rave’ yang bermaksud percakapan merepek, meracau mahupun menggambarkan perasaan ghairah dan teruja ketika berkata tentang sesuatu. Dari segi istilah, ‘rave’ ialah sebuah muzik rancak dan disertakan dengan budaya berparti serta bersuka ria sehingga ke awal pagi. Dalam konteks budaya anak Melayu kini, istilah ‘ravers’ lebih sinonim dengan tarian bebas mengikut rentak muzik yang dimainkan.

‘Hipster’ pula merupakan sebuah budaya golongan kelas ekonomi pertengahan yang memilih untuk hidup secara mewah. Berbeza dengan ‘ravers’ yang lebih sinonim dengan tarian bebas, ‘hipster’ lebih mementingkan soal gaya dan fesyen pakaian.

Tidak kiralah apa jua ‘jenama’ yang dipamerkan; ‘ravers’ mahupun ‘hipster’, namun isinya tetap sama yakni budaya hiburan yang melampau atau lebih signifikan dengan terma budaya hedonisme. Budaya hiburan yang melanda anak Melayu kini kebanyakannya berasal daripada Barat, dan ditambah lagi kesannya akibat gelombang K-Pop yang semakin mendapat tempat dalam diri anak Melayu.

Kewujudan media massa dan media sosial yang memudahkan proses mengakses maklumat, semudah satu ‘klik’ di hujung jari juga mengakibatkan anak Melayu semakin terikut-ikut dengan budaya Barat yang negatif. Media sosial Facebook, Twitter dan Instagram dijadikan sebagai medium bagi mengikuti perkembangan fesyen semasa serta perkembangan artis pujaan masing-masing, manakala tarian pelik seperti tarian ‘ravers’ pula dipelajari gerak tarinya melalui pemerhatian di laman Youtube.

Persoalannya, mengapa mudah sekali anak Melayu hanyut dan terus tenggelam dalam budaya hiburan yang sia-sia? Fenomena ini terjadi tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh hilangnya jati diri anak Melayu sebagai seorang Melayu dan seorang Muslim.

 

Pentingnya Jati Diri

Apabila diimbas kembali kepada beberapa tahun yang lepas, dapat kita pelajari bahawa budaya hiburan yang melanda anak Melayu datang dan pergi dengan jenama berbeza-beza mengikut generasi. Budaya ‘hip-hop’, ‘punk’, ‘gothic’, tarian ‘breakdance’, ‘shuffle’, ‘tectonic’ dan pelbagai lagi budaya Barat lain dengan mudah meresap ke dalam jiwa anak Melayu yang hidup tanpa jati diri.

Begitu penting jati diri sebagai seorang Melayu dan seorang Muslim diterapkan ke dalam jiwa anak Melayu supaya mereka tidak sewenang-wenangnya terpengaruh dengan budaya Barat yang membawa implikasi negatif kepada mereka.

Sebagai seorang Melayu, anak Melayu mesti sedar bahawa budaya hiburan yang melampau adalah bertentangan dengan tatasusila kemelayuan yang lemah lembut, bersopan santun serta berbudi bahasa. Bahkan dalam Islam juga menegaskan agar umatnya menjauhi perkara yang sia-sia seperti mana yang termaktub dalam surah al-Mukminun ayat satu hingga tiga yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Tidak salah untuk anak Melayu berhibur dan mengikuti perkembangan fesyen semasa, asalkan budaya hiburan dan gaya fesyen itu selari dengan syariat Islam yang mulia. Sebagai contoh, dalam hiburan itu tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan Islam, tidak menjadikan diri kita lalai daripada mengingati Allah SWT, manakala dalam aspek berfesyen pula masih melindungi aurat dan tetap menampakkan imej Muslim melalui pakaian dan gaya.

Tanpa jati diri yang kukuh sebagai seorang Melayu dan seorang Muslim, anak Melayu akan mudah mengambil ringan terhadap dosa yang dilakukan dek kerana sudah terlalu lama hanyut dan tenggelam dalam budaya hiburan. Bermula dengan hiburan kecil yang dilakukan atas dasar untuk berseronok dan sekadar mencuba, membawa pula kepada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, kemudian mula bersentuhan dan bertepuk tampar dengan mereka yang berlainan jantina sehinggalah kepada perbuatan zina yang dimurkai oleh Allah SWT.

Lihatlah betapa hebat dan dahsyatnya budaya hiburan yang tidak berlandaskan syarak dalam menghancurkan anak Melayu secara halus dan perlahan. Lebih menyedihkan lagi apabila anak Melayu semakin tegar memberi alasan apabila diri mereka ditegur dan dinasihati.

“Eh, kenapa tegur cara aku berpakaian? Orang lain tak tutup aurat kau tak tegur pun.”

“Biarlah aku nak buat tarian ‘ravers’, bukannya kacau hidup kau.”

Dan pelbagai lagi alasan lain yang diberikan oleh mereka dalam ‘menghalalkan’ perbuatan dan budaya hiburan yang sia-sia. Namun, sebagai umat Islam yang sedar akan kerosakan yang melanda anak bangsa, kita mestilah berterusan dalam menasihati mereka tanpa jemu mahupun putus asa kerana tugas kita sebagai umat Islam adalah berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.

 

Solusi

Setelah kita menyedari bahawa anak Melayu semakin hanyut dalam budaya hiburan dek kerana hilangnya jati diri Melayu Muslim dalam diri mereka, kini tibalah masa untuk kita membincangkan apakah solusi terbaik yang mesti dilakukan bagi menyelamatkan anak bangsa daripada terus tenggelam dalam kelalaian dan kesia-siaan.

Peranan terbesar mestilah dimainkan oleh ibu bapa kerana mereka adalah individu yang terdekat dengan anak-anak ini dari segi hubungan kekeluargaan. Ibu bapa mestilah memantau maklumat yang diakses oleh anak-anak di laman sesawang agar perubahan dan perkembangan yang berlaku kepada anak-anak diketahui puncanya.

Selain itu, ibu bapa mestilah menasihati anak-anak supaya memilih rakan yang baik dalam pergaulan seharian kerana pada fasa awal remaja khususnya, anak-anak akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya disebabkan oleh faktor ‘peer pressure’ dan perasaan ingin diterima dalam lingkungan persahabatan yang ada. Bagi menjadikan diri mereka diterima dalam sesebuah kumpulan, anak-anak ini terpaksa mengikuti apa yang dilakukan oleh kumpulan tersebut agar mereka tidak ketinggalan mahupun ditinggalkan. Disebabkan faktor inilah ramai anak Melayu yang terikut dengan budaya hiburan seperti ‘ravers’ dan ‘hipster’ tanpa langsung memikirkan kesan baik buruk daripada hiburan tersebut.

Seterusnya, para guru juga berperanan dalam mendidik anak bangsa ketika mereka berada di sekolah khususnya. Sematkan kesedaran berkenaan baik buruk budaya hiburan yang melanda anak bangsa supaya mereka menjadi lebih matang dalam berfikir dan membuat pilihan mahupun tindakan. Para guru juga perlu tegas dalam menangani permasalahan ini dan bukan pula memberikan sokongan kepada anak bangsa untuk terus larut dalam budaya hiburan yang sia-sia.

Teringat penulis akan sebuah video yang pernah ditularkan di media sosial suatu ketika dahulu di mana sebuah persembahan tarian ‘ravers’ dipersembahkan oleh para pelajar di hadapan para guru dan rakan-rakan yang lain. Apa jua alasan dan objektif yang difikirkan oleh pihak sekolah dalam membenarkan persembahan tarian ‘ravers’ tersebut, ianya adalah bertentangan dengan falsafah pendidikan negara dan mencemarkan sekolah sebagai sebuah medan menuntut ilmu dan bukannya sebagai sebuah medan hiburan melampau.

Sebagai umat Islam yang sedar akan ke‘fasad’an yang melanda anak bangsa, kita semua berperanan penting dalam menyelamatkan mereka daripada terus hanyut dalam budaya hiburan yang sia-sia. Mutakhir ini kita lihat masyarakat Malaysia lebih suka merakam video anak Melayu yang melakukan perbuatan sia-sia seperti menari tarian ‘ravers’ kemudian menularkan rakaman video tersebut di laman sosial supaya perbuatan itu boleh dikutuk secara beramai-ramai. Mereka inilah selayaknya kita gelar sebagai perwira papan kekunci sejati.

Perkara yang sepatutnya dilakukan apabila berdepan dengan situasi melihat anak bangsa melakukan perkara sia-sia adalah menasihati mereka dengan penuh hikmah dan kesabaran. Ya, mungkin mereka akan memberikan respons yang negatif terhadap nasihat yang diberikan, namun yakin dan percayalah, lambat laun nasihat tersebut akan memberikan kesan kepada jiwa mereka lantas menjadi asbab perubahan mereka ke arah kebaikan, Insya-Allah.

Bayangkan sekiranya anak muda yang hanyut dalam budaya hiburan yang sia-sia itu adalah anak mahupun adik-adik kita sendiri, sudah pasti kita akan menasihati mereka dan berusaha bersungguh-sungguh dalam membimbing mereka ke arah kebenaran.

Ayuh! laksanakan peranan masing-masing dalam menyebar dakwah kepada umat Islam, khususnya anak bangsa di Malaysia.- MAJALAH DAKWAH

 

Amirul Eqhwan Rahim ialah mahasiswa tahun akhir Universiti Malaya dalam bidang sains (kimia) dan merupakan penulis buku Mahasiswa Bukan Robot dan #Henshin Mahasiswa

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *