Home » Persuasif » Buanglah sampah dengan betul

Buanglah sampah dengan betul

sumber

Dalam dunia ini siapa yang sukakan sampah sarap? Sampah sarap sudah tentunya sinonim dengan kekotoran. Adakah wujud manusia yang normal sukakan kekotoran yang berkait rapat dengan bau busuk dan penyakit?

Jika dalam komuniti yang kecil seperti di dalam rumah dan kejiranan, kita masih melihat ia di skala yang kecil tetapi sekiranya pengurusan sampah tidak dilaksanakan sebaiknya pasti ia akan membawa kesan yang negatif kepada masyarakat sekitar.

Kalau hendak bercerita tentang sampah sarap ini ada bermacam-macam sudut yang boleh dibahaskan. Contohnya seperti pembahagian sampah yang masih belum dipraktikkan sepenuhnya di negara ini, masalah jumlah bahan buangan termasuk sisa makanan yang besar dikutip setiap hari, jenis-jenis sampah yang pelbagai dan sikap masyarakat ketika membuang sampah sama ada telah membuang sampah di tempat yang sepatutnya atau dengan sewenang-wenangnya membuang sampah keluar dari kereta, di tepi-tepi jalan, selitkan di celah-celah ruang di tempat duduk di pusat membeli belah dan sebagainya.

Kenapa, ya? Salah satu daripada tabiat orang kita adalah tabiat membuang sampah keluar tingkap kereta. Sedari kecil atau khususnya di sekolah rendah, kita diajar tentang kepentingan menjaga kebersihan tetapi apabila meningkat dewasa, amalan itu semakin luntur dalam diri kita. Sedangkan menjaga kebersihan adalah salah satu daripada kesedaran sivik yang mesti dalam diri dan minda kita. Ini juga menjadi ilmu dan praktikal yang perlu kita tunjukkan kepada anak-anak kita.

Bagi penulis, ini adalah satu perbuatan yang paling tidak digemari walaupun dilakukan oleh orang-orang terdekat. Bukan mahu menunjuk diri sendiri baik tetapi sejak kecil, minda penulis telah dipasakkan bahawa alam ini adalah milik Allah SWT dan kita sebagai manusia harus menggunakannya sebaik mungkin. Membuang sampah merata-rata atau khasnya dari dalam kereta, bermakna kita telah mengotorkan bumi yang telah diamanahkan ini.

Penulis memang kurang senang apabila melihat sampah sarap berterabur di tepi-tepi jalan, dan di lampu isyarat. Sehingga tercetusnya di dalam hati, sampainya hati mereka membuang sampah di sini.

Ada cara yang kita boleh usahakan untuk jadikan ia sebati dalam diri kita. Bukankah orang kita suka makan ketika melalui perjalanan jauh sama ada makan kacang, makanan ringan ataupun buah-buahan potong. Apa kata selepas ini, apa-apa sahaja bekas minuman, pembalut makanan atau plastik sampah kita simpan dahulu di dalam kereta. Apabila sudah di destinasi yang ditujui atau berhenti di mana-mana kawasan Rehat dan Rawat (R&R), ambil dan buanglah ke dalam tong sampah yang ada kat situ. Walaupun makan gula-gula getah. Cubalah jangan sesuka hati meludahkannya di merata-rata sebab ia juga akan memberi kesan kepada orang lain. Mungkin terlekat di tapak kasutnya ataupun di pakaian mereka. Setelah habis dikunyah, buangkanlah ke dalam tisu. Sementara itu, peganglah sekejap ataupun letak di kaki kalau tidak mahu memegangnya. Mudah, bukan?

Islam amat menitikberatkan kepentingan menjaga kebersihan diri, kawasan sekeliling dan alam ini kerana ia telah ditekankan dalam al-Quran serta hadis.

Firman Allah yang bermaksud:

“…Sesungguhnya Allah mencintai orang yang bertaubat dan orang yang membersih dirinya.”(al-Baqarah 2: 222).

 Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Kebersihan adalah separuh daripada iman.” (Riwayat Muslim).

Tidak kiralah di mana kita berada; di rumah, tandas awam, sekolah, panggung wayang, kedai, pusat membeli belah, hospital dan sebagainya, tanggungjawab menjaga kebersihan tempat-tempat ini adalah tanggungjawab kita bersama. Bukan di rumah kita sahaja kita mahu bersih. Selalunya, kita ini rumah mahu bersih dari sampah sarap, tandas mesti berkilat dari kekotoran yang menggelikan, pakaian pula harus bersih dan harum. Tetapi, apabila kita berada di luar rumah, kita boleh dengan sesuka hatinya membuang sampah, menggunakan tandas awam sewenang-wenangnya dan macam-macam lagi. Ini disebabkan di dalam minda mereka sudah tertanam bahawa tempat-tempat tersebut sudah ada orang yang digaji untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

“Oh! tak apa…ada orang akan cucikan.”

“Ada orang yang akan kutip sampah-sampah tu.”

Ini dialog-dialog biasa bagi orang yang mementingkan diri sendiri. Ia merupakan situasi yang sangat menyedihkan sekiranya mentaliti seperti ini berterusan. Mungkin disebabkan amalan kebersihan di negara ini tidak seperti di Jepun atau Korea. Ya, kerajaan mereka mendidik rakyat dan yang paling penting rakyatnya mendidik diri mereka sendiri. Mereka cintakan negara mereka dan mereka bersama-sama membantu kerajaan menjaga kebersihan negara mereka.

Jadi, ayuhlah mulakan amalan membuang sampah secara betul, kerana dari amalan dan rutin yang nampak sukar pada mulanya, ia akan berubah menjadi budaya yang baik dalam masyarakat. Seterusnya memberi impak dan imej yang positif kepada diri kita dan seterusnya negara kita ini pada masa akan datang.

Sampah itu nampak kecil dan mungkin ketika membuang sampah, tiada orang yang melihatnya. Namun, penulis sering diingatkan, di akhirat nanti kita tetap akan didakwa atas setiap perbuatan kita walaupun sebesar zarah. Jadi, renung-renungkanlah. Ingatan untuk diri sendiri dan juga orang lain yang mahu berfikir dan mengamalkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat Muslim).

Editor.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *