PUTRAJAYA – Bosnia and Herzegovina berharap dapat menjalin kerjasama dua hala dengan Malaysia dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, pelaburan dan pelancongan.
Ini adalah antara perkara yang dibincangkan Menteri Hal Ehwal Sivil Bosnia Adil Osmanovic dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof ketika melakukan lawatan kerja selama tiga hari ke Sarajevo.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat menteri di sini , Mujahid memulakan lawatan kerja dengan mengadakan kunjungan hormat terhadap beberapa pemimpin negara berkenaan antaranya Grand Mufti of Bosnia Sheikh Husein Kavazovic, Datuk Bandar Sarajevo Abdulah Skaka dan Ketua Pegawai Eksekutif Bosna Bank International (BBI) Amer Bukvic.
Dalam lawatan kerja itu, Mujahid turut berucap di Sarajevo Halal Fest 2018 dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan Bosnia.
Selain itu, beliau turut dijemput menyampaikan syarahan kepada pelajar di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Sarajevo. – Bernama
KOMEN