Home » Muamalah » Boros sedekah pangkal kaya

Boros sedekah pangkal kaya

Oleh NABIHAH YUSOF

Sebut sahaja perkataan kaya, sudah pasti akan terbeliak mata. Siapa yang tidak mahu menjadi kaya? Semua orang bercita-cita ingin menjadi kaya-raya. Tetapi Islam itu indah dan cantik susunannya dalam kehidupan manusia. Contohnya jika ingin berjaya seseorang itu bukan sahaja mesti berusaha bersungguh-sungguh, tetapi terdapat rahsia untuk seseorang itu mendapat kejayaan dan nikmat rezeki yang melimpah-ruah.

Cuba kita perhatikan orang-orang yang kaya-raya, tidakkah kita terfikir kenapa mereka dikurniakan kenikmatan yang melimpah-ruah. Kita hanya melihat dari mata kasar kekayaannya sahaja, tetapi kita tidak ingin merungkai rahsia disebalik kejayaan dan kekayaan yang mereka miliki. Namun, apa yang pasti salah satu kejayaan dan kemurahan rezeki dimiliki mereka antaranya adalah kerana sentiasa berinfak. Sifir kekayaan dalam Islam adalah ‘semakin boros berinfak’, maka semakin banyaklah kekayaan yang datang. Mengapa kita tidak berbuat sedemikian? Ataupun kita masih teragak-agak untuk bertindak? Tepuk dada tanya iman masing-masing.

Allah SWT menggalakkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya suka bersedekah, menderma dan mengeluarkan nafkah daripada hartanya pada jalan Allah SWT. Iaitu semata-mata untuk kebajikan yang seolah-olahnya memberikan hutang (memberi pinjaman) kepada Allah SWT dengan piutang yang terbaik didorong dengan rasa baik hati dan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Maka Allah SWT akan menerimanya pula sebagai piutang kepada-Nya dan di akhirat kelak hutang tersebut akan dibayar dengan berlipat kali ganda. Yang mana daripada satu kebajikan akan digandakan menjadi sepuluh hingga 700 kali ganda, disamping disediakan ganjaran tambahan yang mulia iaitu syurga. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!”. (al-Hadid: 11)

Berdasarkan Firman Allah SWT daripada surah al-Hadid ayat 11, ia bertepatan dengan Firman Allah SWT daripada surah al-Baqarah ayat 245, yang bermaksud: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan”. (al-Baqarah: 245)

Adapun daripada Firman Allah SWT pada ayat 245 daripada surah al-Baqarah yang berbunyi dengan maksudnya: “Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas)…”, membawa maksud bahawa Allah SWT bertanya, siapakah  yang suka berbelanjakan hartanya pada jalan Allah dengan membantu orang daif dan lemah ataupun menolong orang-orang yang dalam kesempitan hidup?

Belanja yang dikeluarkan itu dianggap oleh Allah SWT sebagai piutang kepada-Nya atau sebagai pinjaman kepada Allah SWT, iaitu sebagai janjinya akan dibayar oleh-Nya semula kelak. Inilah yang dinamakan (Qordhon Hasanan) iaitu memberi hutang dengan niat baik dan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Adalah diriwayatkan oleh At-Tobari dengan sanadnya daripada ibnu Mas’ud katanya: Manakala turun ayat yang berbunyi dengan maksudnya: “Siapakah yang mahu memberikan hutang (pinjam) kepada Allah dengan piutang (pinjaman) yang baik?” Maka berkatalah seorang sahabat yang bernama Abud Dahdah: ‘Benarkah Allah mengkehendaki kita supaya memberikan hutang kepada-Nya, ya Rasulullah SAW?’. Lalu Rasulullah SAW menjawab: ‘Benar ya Abud Dahdah’. Maka Abud Dahdah pun berkata: ‘Hulurkan tanganmu ya Rasulullah’. Kemudian Rasulullah SAW pun menghulurkan tangannya yang segera dijabat oleh Abud Dahdah sambil berkata: ‘Sesungguhnya saya memberi hutang kepada Tuhanku sebidang kebun daripada kebun-kebun kepunyaanku yang mengandungi 600 batang pohon kurma’. Setelah itu, Abud Dahdah telah berjalan ke kebun tersebut yang pada ketika itu isteri dan anak-anaknya ada tinggal di sana. Beliau pun memanggil isterinya dan menyuruh supaya meninggalkan kebun itu dengan memberitahu kepada isterinya, katanya: ‘Sesungguhnya kebun itu aku telah hutangkan kepada Allah SWT”.

Kemudiannya ayat tadi dilanjutkan dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: “…supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya…” Yang mana ayat ini bermaksud orang yang telah memberi hutang (pinjam) kepada Allah SWT dengan cara-cara yang disebutkan tadi akan mendapat ganjaran berlipat kali ganda yang tidak terhitung banyaknya.

Seterusnya Allah SWT mengakhiri ayat tadi dengan Firman-Nya yang bermaksud: “Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan”. Berdasarkan ayat yang akhir ini, setelah Allah SWT menjelaskan bahawa sesiapa yang membelanjakan harta bendanya pada jalan Allah SWT. Dalam erti kata lain ia telah meminjamkan hartanya atau memberikan “hutang” kepada Allah SWT. Kelak Allah SWT akan mengembalikan dan membayar balik iaitu bukan dengan “bayaran” satu kali ganda, tetapi berpuluh kali ganda, malah beratus kali ganda daripada asal pemberiannya. Simpanan yang dipertaruhkan kepada jalan Allah SWT tersebut akan mendapat “faedah” atau “bunga” yang paling banyak.

Sesungguhnya banyak jalan Allah SWT yang terbuka pintu rahmat-Nya untuk hamba-hamba-Nya yang dikasihi. Tetapi masih ada yang teragak-agak, merasa sayang dan “kedekut” dengan Allah SWT atau takut rugi untuk mengasingkan sebahagian hartanya yang akan dibelanjakan ke jalan Allah SWT demi mendapat reda-Nya. Bahkan yang menghairankan, kita tidak takut rugi, tidak sayang dan tidak teragak-agak membelanjakan harta walaupun dengan berhutang sekalipun pada jalan yang dikehendaki oleh hawa nafsu sehingga membawa kepada kemaksiatan dan menderhakai Allah SWT.

Maka ingatlah, bahawasanya Allah SWT berkuasa menyempitkan rezeki seseorang dan berkuasa pula melapangkan rezekinya. Allah SWT berkuasa menahan dan menyempitkan rezeki sesiapa yang dikehendaki-Nya dari kalangan hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya apa yang berlaku itu ada hikmahnya.  Allah ingin menduga, sejauhmanakah manusia boleh bersabar dengan ujian dan cubaan disebabkan kesempitan serta kemiskinan yang dihadapi dan sejauhmana pula bersyukur setelah diberi nikmat kesenangan dan kelapangan hidup.

Apa yang pasti, kesudahannya semua makhluk akan kembali kepada Allah SWT dan masing-masing akan diberi balasan atas setiap apa yang dikerjakan semasa hidupnya. Segala amalan soleh yang dikerjakan di dunia inilah yang akan menjadi syafaat kita di akhirat dan itulah yang kita amat harapkan di sana kelak. – MAJALAH DAKWAH

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *